Jutaan pengguna WhatsApp berubah ke aplikasi lain

Sebaran :


LONDON: Jutaan pengguna WhatsApp mengambil langkah drastik mengabaikan aplikasi berkenaan menjelang kemas kini polisi privasi yang bakal memaksa mereka berkongsi maklumat dengan Facebook.

Kemas kini itu berkuat kuasa 8 Feb, menjejaskan pengguna WhatsApp di semua negara di luar Eropah dan UK, di mana sedia wujud undang-undang perlindungan maklumat ketat.

Pengguna di rantau terbabit akan diwajibkan memberi izin kepada Facebook untuk mengakses maklumat mereka, termasuk nombor telefon dan maklumat mengenai bagaimana mereka berinteraksi dengan orang lain sebelum boleh terus menggunakan aplikasi berkenaan.



Syarat itu terpakai tanpa mengira sama ada pengguna WhatsApp terbabit mempunyai akaun Facebook atau tidak.

Berita ini menyebabkan ramai pengguna ‘melompat’ ke aplikasi saingan lain, lapor Sensor Tower.

Ketika perubahan polisi itu diumumkan pada 7 Jan, Telegram menunjukkan hampir 1.7 juta muat turun, manakala Signal 1.2 juta muat turun, berbanding WhatsApp yang lazimnya mendominasi cuma menunjukkan 1.3 juta muat turun.



Pemasangan WhatsApp juga jatuh kira-kira 13% kepada 10.3 juta muat turun pada tujuh hari pertama Januari, berbanding tujuh hari sebelumnya.

Minggu lalu, WhatsApp pertama kali memaklumkan penggunanya mengenai perubahan privasi dalam satu makluman.

Menurut polisi itu: “Sebagai sebahagian daripada syarikat Facebook, WhatsApp menerima maklumat dan berkongsi maklumat dengan syarikat Facebook yang lain.


“Kami mungkin menggunakan maklumat yang diterima daripada mereka, dan mereka mungkin menggunakan maklumat yang dikongsikan itu untuk membantu menjalankan operasi dan memasarkan perkhidmatan kami dan produk syarikat Facebook,” ujarnya.

Secara dasarnya, Facebook kini boleh mengakses maklumat akaun termasuk nombor telefon, maklumat mengenai bagaimana anda berinteraksi dengan pengguna lain, dan rekod berapa kerap serta berapa lama anda menggunakan WhatsApp.

Maklumat lain yang boleh dikongsi dengan Facebook termasuk alamat IP, maklumat berhubung butiran pelayar, bahasa dan zon masa.

WhatsApp dibeli oleh Facebook pada 2014, dan telah berkongsi maklumat dengan syarikat induknya itu sejak 2016.

Bagaimanapun, sebelum ini pengguna boleh memilih untuk tidak berkongsi maklumat peribadi dengan Facebook tetapi kini sebaliknya, jika pengguna mahu terus menggunakan khidmat WhatsApp di luar Eropah.

Ramai pengguna WhatsApp yang berang menyuarakan rasa tidak puas hati di Twitter dengan mengatakan tidak akan lagi menggunakan aplikasi itu, susulan polisi baru berkenaan.

Seorang daripadanya berkata, “Saya baru saja memadamkan WhatsApps dan Instagram daripada telefon saya kerana terma dan syarat barunya menakutkan saya.”

Seorang lagi pengguna menyuarakan perkara sama dengan berkata, “Saya memadam WhatsApp minggu lalu. Memang saya kehilangan beberapa rakan dan itu agak teruk, tetapi saya melihat Facebook sebagai satu perusahaan jenayah; saya tidak mampu memberikan mereka akses terhadap maklumat saya.”

“Saya memadam WhatsAppa hari ini. Saya menggunakan Signal dan menganggapnya hebat. Harap-harap anda semua mengikut saya ke situ!” kata seorang lagi pengguna.

Menurut App Annie, kedudukan WhatsApp di United Kingdom (UK) dan Amerka Syarikat (AS) merudum susulan berita itu.

Di AS, WhatsApp kini di nombor 38 dalam carta muat turun, dan nombor 10 di UK iaitu jauh kurang daripada biasa.

Sebaliknya, Signal dan Telegram semakin meningkat kedudukannya, masing-masing pada nombor satu dan 13 dalam carta muat turun UK.

Jake Moore, Pakar Keselamatan Siber di ESET berkata, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ramai pengguna memadamkan WhatsAppa susulan kemas kini polisi privasi itu.

“Makluman bahawa aplikasi itu tidak boleh digunakan melainkan anda bersetuju (dengan syarat) mungkin bukan cara terbaik kerana membuatkan orang ramai rasa dipaksa memberikan maklumat peribadi mereka.

“Kita mungkin juga melihat orang ramai beralih daripada aplikasi ini kepada yang lebih memfokuskan privasi dan melindungi maklumat kita dengan lebih terperinci.

“Adalah amat penting bahawa pengguna lakukan apa saja yang termampu untuk melindungi maklumat peribadi, dan mesti menyedari betapa bahayanya jika ia jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Apakah kesan perubahan polisi ini untuk anda?

Bermula 8 Feb, WhatsApp akan mengongsikan maklumat pengguna dengan syarikat induknya, Facebook.

Walaupun WhatsApp akan berkongsi data dengan Facebook, perlu diingat bahawa WhatsApp adalah sulit dan Facebook tidak akan dapat melihat kandungan mesej anda.

Bagaimanapun, ia dapat melihat siapa yang menerima pesanan anda, selain kekerapan bertukar-tukar mesej.

Jika menggunakan WhatsAppa, anda sepatutnya menerima pemberitahuan menjelaskan perubahan itu.

Pemberitahuan itu menggariskan ciri perkongsian maklumat baru selain menggesa supaya anda “Setuju” dengan syaratnya. FMT


Sebaran :

Leave a Reply