Petronas bayar royalti RM59.8 bilion kepada 4 negeri

Petronas bayar royalti RM59.8 bilion kepada 4 negeri dalam 11 tahun

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, bayaran tunai hasil petroleum yang dibayar Petronas kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan hampir RM59.8 bilion dari 2008 hingga 2019.

Petronas membuat bayaran tunai hasil petroleum sebanyak 5% secara terus kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Bagi Kelantan dan Terengganu, Petronas menyalurkan bayaran kepada Kementerian Kewangan, yang seterusnya membuat bayaran kepada kedua-dua negeri itu.

Secara keseluruhan, RM24.54 billion dibayar kepada Sarawak, RM12.78 bilion kepada Sabah, RM22.04 bilion kepada Terengganu dan RM403.25 juta kepada Kelantan.

Katanya, Petronas turut membayar dividen kepada kerajaan persekutuan berjumlah RM282 bilion dari 2010 hingga 2019.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di sidang Dewan Rakyat hari ini susulan pertanyaan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu pecahan bayaran hasil setiap negeri, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Lim juga ingin tahu adakah peletakan jawatan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas, Wan Zulkiflee Wan Ariffin ada kaitan dengan bayaran itu.

Mustapa berkata, Wan Zulkiflee mengambil keputusan bersara selepas berkhidmat dengan Petronas selama 37 tahun.

Pelantikan Wan Zulkiflee sebagai pengerusi Malaysia Airlines Bhd ialah pengiktirafan kerajaan terhadap pengalamannya yang luas dan mendalam serta kejayaannya mengemudi Petronas di dalam suasana sangat mencabar.

Mustapa berkata, tindakan itu ialah salah satu usaha kerajaan bagi mengkaji semula pucuk pimpinan syarikat milik kerajaan.

“Suka saya maklumkan peletakan jawatan presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas baru-baru ini tiada kaitan dengan bayaran berkenaan.”. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker