Bayi 4 bulan meninggal dunia di rumah pengasuh di Putrajaya

PUTRAJAYA: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 9 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata berdasarkan siasatan awal, pengasuh wanita berusia 48 tahun berkenaan mendakwa bayi itu mengalami demam dan selesema semasa dihantar ke rumahnya pada pagi hari tersebut.

“Apabila bayi tersebut tidak bangun dari tidur ketika dikejutkan, pengasuhnya terus menghubungi ibu bayi dan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Menurut Mohd Fadzil, wanita itu mula menjaga bayi berkenaan kira-kira dua minggu lalu.

Katanya mayat bayi dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat, manakala hasil ujian saringan COVID-19 ke atasnya adalah negatif.

Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan keputusan bedah siasat, katanya.

Mohd Fadzil turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu agar menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis yang berdekatan.
— BERNAMA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker