Tiada pertembungan PAS, UMNO, BERSATU di Kedah, Saya yakin – MB Kedah

Share

 

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, yakin tidak akan berlaku pertembungan kerusi antara tiga parti gabungan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelasnya, PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Kedah sudah bersetuju dengan formula mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU-14.

“Saya rasa tidak ada (pertembungan). PAS pertahan semua kerusi kita di Kedah, tiga kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Malah, seluruh negara yang kita menang, kita kekal bertanding.

“UMNO dan BERSATU pula akan kekal bertanding di mana kawasan mereka menang.

“Semua parti (PN di Kedah) bersetuju dengan fomula itu. Kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) baru kita runding. Tempat tak berlaga tak perlu runding,” katanya ditemui di hadapan ibu pejabat PAS di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan pertembungan kerusi antara UMNO dan BERSATU di Kedah, serta sama ada PAS akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU-14 di negeri itu.

Kedah memiliki 36 kerusi DUN secara keseluruhan dan pada PRU-14, PAS menang 15 kerusi, manakala UMNO dua kerusi dan BERSATU enam kerusi, dan selebihnya milik PKR (7), AMANAH (4) dan DAP (2).

Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan negeri melalui gabungan PKR, AMANAH, DAP dan BERSATU dengan keseluruhan 19 kerusi.

Bagaimanapun, selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang di Kedah pada Mei lalu, PN membentuk kerajaan baharu dengan 21 kerusi membabitkan 15 daripada PAS, dua UMNO dan empat BERSATU.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Kedah, berkata pertelingkahan antara UMNO dan BERSATU di peringkat pusat tidak menjejaskan kerjasama kedua-dua parti itu dengan PAS di Kedah.

“Kita di Kedah tidak ada masalah dengan UMNO atau BERSATU. Semua okay,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi hadir pada mesyuarat PAS di ibu pejabat parti itu yang bermula jam 10 pagi tadi, namun beliau enggan mengulas sama ada mesyuarat itu turut membincangkan mengenai keretakan hubungan antara UMNO dan BERSATU.

Leave a Reply