Hanya mesyuarat biasa, tak bincang isu Umno-Bersatu’ – PAS Pusat
PAS menafikan tanggapan yang mengatakan mesyuarat parti itu hari ini menyentuh isu pertelingkahan antara Umno dan Bersatu.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pertemuan pemimpin PAS pagi ini hanya mesyuarat bulanan biasa parti itu.
Sebaliknya kata Khairuddin parti itu masih berpegang pada prinsip memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).
“Itu urusan dalaman mereka, kita teruskan pertemuan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam pemimpin veteran PAS, Dr Mahfodz Mohammed, berkata parti itu akan terus berusaha agar sekutunya, Umno dapat menerima hakikat betapa perlunya mereka terus kekal dalam satu gabungan.
Mahfodz berkata suka atau tidak, ketiga-tiga parti Melayu-Islam di negara ini perlu kekal bersama bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
Terdahulu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman bekata, PAS perlu membuat ketetapan sama ada masuk bersama parti itu atau Umno.
“Meskipun tiada masalah antara PAS dan Bersatu, saya berpendapat PAS wajar memilih sama ada bersama kami atau Umno demi memudahkan persiapan menghadapi PRU15,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pada Ahad lepas berkata 143 dari 191 bahagian Umno (74.8 peratus) mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin pada PRU15.
Dalam pada itu, Khairuddin ketika ditanya mengenai pendirian PAS sama ada akan memilih Umno ataupun Bersatu skadar berkata: “(PAS) memperkasakan MN dan mempertahankan PN. Itu dari awal lagi masih konsisten.”