GRS tandatangan MoU, tolak campur tangan luar

Sebaran :

KOTA KINABALU – Parti-parti politik yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengekalkan kerjasama selain menolak campur tangan luar yang cuba menggugat gabungan itu.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor; Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee; Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Ellron Alfred Angin; Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Radin Malleh; Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup; Pengerusi MIC Sabah, Peer Muhamad dan Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, MoU itu yang merupakan memorandum pertama seumpama dimeterai di bawah GRS, penting bagi mengukuhkan ikatan politik melalui musyawarah dan perundingan berasaskan persefahaman antara parti.

“Berpaksikan kepada mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, semua parti yang ada dalam gabungan ini bersetuju untuk memastikan mandat rakyat ini dihormati dan perlu diteruskan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama antara parti komponen GRS sememangnya kukuh sejak PRN Sabah ke-16 lagi tetapi dengan memorandum ini, kerjasama ini dapat kita kukuhkan lagi bagi memenuhi mandat yang diberi rakyat,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di sini.

Hajiji berkata, di sebalik perkembangan politik di Semenanjung, GRS perlu menentukan sendiri hala tuju politiknya berdasarkan mandat yang diberi oleh rakyat Sabah.

“Tidak timbul isu kita terpengaruh, apa sahaja berlaku di Semenanjung kita GRS kekal utuh,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, BN Sabah tetap dengan ketetapannya sebelum ini iaitu mempertahankan kerajaan negeri GRS demi kepentingan rakyat di Sabah.

“BN dan UMNO sepakat dengan kerajaan sedia ada. Apa yang penting bagi kita sekarang ialah membangunkan negeri Sabah untuk rakyat,” kata Bung Moktar yang juga Pengerusi UMNO Sabah.

Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan senarai Jawatankuasa GRS iaitu:

Pengerusi: Datuk Hajiji Noor

Timbalan Pengerusi I: Datuk Seri Bung Moktar Radin

Timbalan Pengerusi II: Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili

Timbalan Pengerusi III: Datuk Dr Jeffrey Kitingan

Setiausaha: Mohd Razali Razi

Penolong Setiausaha: Ardino Diris

Bendahari: Datuk Seri Salleh Said Keruak

Ketua Penerangan: Datuk Joniston Bangkuai

– Bernama


Sebaran :

Leave a Reply