Bila pilihan raya umum sesuai diadakan? Ini jawapan pakar kesihatan

Pilihan raya umum tidak sesuai dijalankan selagi mana 60 hingga 70 peratus rakyat negara ini tidak menerima suntikan vaksin COVID-19.

Selain itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berpandangan, keputusan untuk mengadakan pilihan raya juga perlu mengambil kira nilai kebolehjangkitan atau R-naught (R0) berada di bawah 0.5.

Jelas beliau, jika kedua-dua perkara itu tidak dipertimbangkan, ia akan memberi risiko besar kepada sistem kesihatan negara.



“Jika dah ada vaksin, ambil masa sedikit untuk membangunkan imuniti ataupun dapat menjana ketahanan jangkitan terhadap COVID-19, barulah pada waktu itu selamat untuk kita adakan pilihan raya.

“(Selain itu), pada waktu tersebut kita lihat kepatuhan (terhadap prosedur operasi standard (SOP), dan nilai R0. Nilai R0 semasa ketika ini 1.12.

“Kita jangkakan kalau tiada pencegahan, maksudnya tiada vaksin, SOP masih macam biasa… ada yang patuh, dan tidak patuh, jumlah kes harian boleh meningkat 3,000 sehari pada awal bulan Februari.

“Juga dengan nilai R0 sama, kes boleh mencecah 8,000 sehari pada bulan Mei,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.



Mengulas lanjut, beliau berkata kegagalan mematuhi SOP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah membuktikan peningkatan kes dan kewujudan kluster baharu.

Sementara itu, jika dibanding dengan pilihan raya di negara-negara seperti Singapura dan New Zealand, katanya kadar kes jangkitan di negara tersebut masih terkawal, ketika itu.

“Skala pilihan raya di Singapura dan New Zealand adalah lebih kecil jika nak dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jika diadakan di Malaysia kelak.

“Apabila kita lihat pilihan raya Presiden di Amerika Syarikat (AS), peningkatan kes mendadak dicatatkan di negara itu. Buat pertama kali dalam sejarah AS mencatatkan lebih 100,000 kes sehari, yang mana angka itu tidak pernah dicapai sebelum pilihan raya,” ujar beliau.



Setakat ini, tiada modul pelaksanaan pilihan raya dari negara-negara lain yang boleh dijadikan contoh sepenuhnya.

Namun, SOP yang dilaksanakan di Singapura seperti melanjutkan tempoh pengundian dan pendaftaran pengundi secara dalam talian, boleh dipertimbangkan, katanya-Awani.

Tuan Ibrahim kecewa PAS dianggap tak sesuai di Sabah, Sarawak



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker