Tuan Ibrahim kecewa PAS dianggap tak sesuai di Sabah, Sarawak

Share

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak, termasuk dalam parti dan sekutunya, yang menganggap agenda perjuangan parti itu tidak sesuai di Sabah dan Sarawak.

Anggota Parlimen Kubang Merian itu menegaskan agenda yang dibawa oleh PAS sesuai untuk semua kaum dan agama.

“Sebab itu saya dukacita bila ada pimpinan…rakan-rakan kita menyebut PAS tak sesuai di Sarawak dan sebagainya.


“Kita melihat agenda perjuangan yang kita bawa ini sesuai untuk semua agama,” katanya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS ke-66, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu isu ketiadaan calon PAS dalam PRN Sabah hangat diperkatakan apatah lagi selepas dilaporkan menyasarkan untuk bertanding di 10 kerusi di negeri itu.

Terdahulu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan berkata keputusan tersebut disebabkan sentimen di peringkat akar umbi.


Hari ini pula seorang perwakilan dari Sabah ketika sesi perbahasan tengah hari tadi mengingatkan pimpinan agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang dibimbangi tidak sesuai dengan masyarakat di Borneo.

Menurut Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan, kenyataan seumpama itu mungkin tiada masalah di negeri lain tetapi tidak sesuai di Sabah dan Sarawak, dan pihaknyalah yang perlu berdepan dengan masyarakat di sana.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menggesa PAS perlu menerjemahkan agenda perjuangannya di saat menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.


“PAS mesti menjadi juara dalam menentang penyelewengan rasuah kerana PAS parti paling berintegriti,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menjelaskan berlaku kemerosotan dalam pendaftaran ahli baru PAS pada tahun ini susulan wabak Covid-19.

Menurutnya, sehingga September tahun ini seramai 29,504 sahaja keahlian baru dicatatkan berbanding 46,560 sepanjang tahun lalu.

“Kempen untuk menarik keahlian akan kembali dijalankan dengan giat dan cuba meningkatkan bilangannya dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Jumlah keahlian PAS (yang dicatatkan) hingga 20 Ogos adalah 806,159 dan ia membabitkan yang aktif sahaja kerana setiap tahun pejabat agung membuat pemutihan, yang tak aktif ramai, jika termasuk bilangannya melebihi 1 juta,” katanya.

Menurutnya, keahlian dari Kedah paling tinggi direkodkan iaitu seramai 170,342 orang, diikuti Kelantan (131,362) dan Terengganu (110,087). Mk

Leave a Reply