Annuar anggap isu pecat selesai, gesa pemimpin henti bertelagah
Annuar Musa yang dipecat sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Selasa lalu berkata, isu itu “sudah selesai”.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau akur dengan keputusan tersebut dan menyeru semua pihak kembali bersatu dan berhenti daripada serang-menyerang sesama pemimpin.
“Sesama pemimpin, kurangkan serang menyerang. Isu saya sudah selesai. Saya reda. Elok kita tumpu membantu rakyat.
“Eratkan perpaduan orang Melayu serta muafakat semua bangsa. Negara dan rakyat dalam kesusahan. Usah berterusan bertelagah kelak kita dibenci,” katanya di Twitter.
Selasa lalu Annuar dipecat sebagai setiausaha agung BN dalam perjumpaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan ketua-ketua bahagian parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan, Annuar “digantikan” sebagai setiausaha agung BN dan juga wakil Umno dalam sekretariat Muafakat Nasional (MN).
Annuar yang dilihat mesra Perikatan Nasional (PN) dan PPBM pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerap dikritik oleh pemimpin Umno tertentu yang melihat beliau cenderung mempertahankan PN dan mengabaikan kepentingan Umno.
Annuar, yang juga menteri Wilayah Persekutuan, menafikan dakwaan itu. FMT
Anwar akui audio 2 puak bertelagah dalam mesyuarat terakhir PH tulen