Amerika Syarikat, Singapura berjaya laksanakan PRU kenapa kita tidak – Ahmad Maslan
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan menyifatkan hanya golongan berpendidikan tinggi dapat memahami keperluan melakukan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin.
Merujuk satu temubual sebuah stesen televisyen dengan seorang individu yang bekerja sebagai pemarut kelapa, Ahmad menerangkan sebab-sebab mengapa PRU wajar diadakan segera.
“Saya dipertontonkan dengan Astro Awani atau TV3, tidak pasti, dia ada temubual seorang pemarut kelapa. Tak pastilah (individu) itu daftar undi atau tidak. Dia cakap tak boleh lakukan PRU kerana Covid-19.
“Tapi saya jawab kenapa perlu PRU, kerana banyak negara yang sudah lakukan antaranya di Amerika Syarikat, Singapura dan kita juga dah laksana pilihan raya kecil (PRK) di Chini, Slim dan pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
“Sabah itu kes tinggi pun punca mereka kerana orang-orang pulau naik motorbot mereka masuk tanpa saringan dan sebagainya, itu antara punca saya difahamkan dan ia merebak di pulau sekitar itu.
“Kita perlukan PRU kerana kerajaan ini juga merupakan kerajaan yang paling tipis (majoriti) di dunia. Kerusi parlimen ada 222, kalau nak jadi kerajaan kena ada 111 campur satu (kerusi) lagi minima. Ha.. dan itu yang kerajaan Malaysia ada sekarang.
“Rasanya yang parut kelapa tadi itu dia tidak perasan, yang ditemubual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah hanya lepasan sekolah tinggi kot.
“Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD (ijazah kedoktoran), saya rasa dia boleh ulas dengan lebih tepat,” katanya.
Ahmad berkata demikian dalam satu program Wacana Ilmu anjuran Umno Bahagian Tanjung Malim bersama Penerangan Umno Perak yang disiarkan secara maya di Facebook Umno Online hari ini.
Pada 6 Jan lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata situasi semasa Covid-19 di negara ini berada pada tahap genting dan mencadangkan agar perintah kawalan pergerakan lebih bersasar dilaksanakan.
Ia berlaku ketika hubungan Umno dengan Bersatu semakin tegang ekoran satu demi satu bahagian Umno mengemukakan usul untuk menamatkan kerjasama terbabit.
Baru-baru ini Majlis Tertinggi Umno pula memutuskan untuk membawa usul berkenaan ke perhimpunan agung parti pada hujung bulan ini supaya diputuskan.
Umno sendiri sebelum ini mendesak agar PRU diadakan segera dengan alasan supaya kerajaan yang mendapat mandat rakyat dapat dibentuk.
‘Umno dan Bersatu macam PAS dan Amanah’
Ditanya berhubung pendirian PAS susulan hubungan tegang antara Umno dan Bersatu, Ahmad menyatakan bahawa baru-baru ini partinya juga sudah mengadakan pertemuan dengan PAS.
Justeru itu, PAS dilihat seperti tiada tanda-tanda akan meninggalkan Umno.
“Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) ada berjumpa dengan Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) dan saya juga akan bertemu dengan Setiausaha Agung PAS (Takiyuddin Hassan) dan kita harap akan ada perkara baiklah.
“Tetapi pertemuan bersama presiden yang baru ini, kita lihat (PAS) di situ tiada tanda-tanda nak tinggalkan kita.
“PAS juga faham keadaan kita sebab Bersatu dan Umno ini dia macam PAS dan Amanah. Luka masih berdarah.
“PAS faham dengan apa berlaku antara hubungan Umno dan Bersatu. Yang penting BN dan PAS kekal sampai PRU,” katanya lagi.
Untuk rekod, biarpun terdapat desakan daripada beberapa pihak untuk mempercepatkan pilihan raya umum ke-15, Presiden PAS, Abdul Hadi berpandangan ia hanya sesuai diadakan selepas banjir yang melanda di beberapa negeri surut dan penularan wabak Covid-19 reda.
You must be logged in to post a comment.