Hanya 2 pilihan buat Muhyiddin, kata Shafie

Terkini di My KMU !!!!---->

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, Muhyiddin Yassin yang di bawah tekanan Umno, hanya mempunyai dua pilihan untuk menangani kebuntuan politik semasa.

Katanya, perdana menteri sama ada boleh meminta gencatan politik dengan Umno dan pembangkang, untuk membolehkan beliau memfokuskan pentadbiran ketika krisis Covid-19, atau mengadakan pilihan raya mengejut.

Beliau berkata, pilihan raya tidak mungkin diadakan buat sementara, tetapi Muhyiddin mempunyai pilihan mengadakan pilihan raya umum ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak, yang perlu diadakan antara Jun dan Ogos ini.

“Ini bermakna berpolitik secara besar-besaran di kalangan parti dalam beberapa bulan akan datang,” katanya sebagai tetamu jemputan dalam sebuah forum politik dalam talian mengenai prospek politik serantau untuk 2021.

Muhyiddin yang mengetuai Perikatan Nasional, berkuasa melalui majoriti tipis di 222 kerusi Dewan Rakyat. Gabungan itu terdiri daripada PPBM, PAS dan parti kecil, serta bergantung kepada sokongan 41 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang diketuai Umno.

Shafie berkata, pakatan PPBM-PAS-Umno menentang satu sama lain di beberapa kerusi pada PRU 2018.

“Walaupun Muhyiddin berharap dapat memanfaatkan populariti awalnya untuk mengadakan pilihan raya umum seawal Jun 2020 tanpa menyelesaikan pembahagian kerusi antara tiga parti itu, PPBM akan menjadi pihak paling rugi dalam pilihan raya umum.”

 

Kegagalan politik Melayu dikuasai lelaki tua

Shafie mendakwa “golongan elit dikuasai lelaki tua” khasnya dalam kalangan parti Melayu, meninggalkan ruang besar dalam politik negara serta retorik politik perpaduan Melayu terbukti ialah janji palsu.

“Umno, PPBM dan PAS gagal membentuk kerajaan stabil. Orang Melayu sendiri menderita apabila golongan elit kuasa Melayu melaksanakan satu set peraturan kepada orang Melayu biasa, ketika mereka mempunyai peraturan berbeza.

“Kira-kira 70% orang Melayu berada di pusat bandar dan 80% rakyat Malaysia berpusat di bandar. Tetapi Umno, PAS dan PPBM masih menggunakan asas majoriti orang Melayu berada di luar bandar.

“Tak lama lagi mereka akan berdepan pemberontakan orang Melayu bandar kembali ke kampung untuk mengundi.”

Shafie berkata, ideologi yang dikongsi bersama Umno, PAS dan PPBM turut tidak mengambil penting wanita dan orang muda yang merupakan kelompok besar pengundi.

“Ideologi mereka telah mengabaikan keperluan orang bukan Melayu, Lebih teruk lagi, mereka melihat rakyat berbilang kaum di Sabah dan Sarawak sebagai ‘orang luar” dalam permainan kuasa mereka.”

Katanya, politik Malaysia perlu dibetulkan semula; ekonomi menjadi lembap dan institusi negara semakin terjejas.

“Naratif baru Malaysia diperlukan dalam semua aspek utama negara – politik, ekonomi dan sosial. Tiada tempat untuk politik perkauman dan agama – perpaduan perlu menjadi landasan pembaharuan melalui demokrasi penyertaan melalui satu sistem tadbir urus berdasarkan nilai yang mengatasi perkauman dan agama.”

Perlu ada pergerakan baru untuk mengisi ruang yang beliau senaraikan itu, melangkaui politik peribadi bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Leave a Reply