Alumni lawan Budak Budak Baru Nak Up (BBNU)

Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 yang bakal berlangsung pada 7 Februari depan, bukan sahaja menyaksikan kepelbagaian genre muzik, malah platform meraikan dua generasi penggiat seni yang mewarnai industri.

Biarpun dipelopori ramai penyanyi ‘Budak Baru Nak Up’, bintang otai yang dianggap ‘Alumni AJL’ turut beraksi dan bersaing pada malam kemuncak yang bakal disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil.

Di sebalik wajah yang sering menjadi sebutan anak muda ketika ini, dua nama besar dan bertaraf legenda, iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Aishah turut tersenarai sebagai antara 12 finalis.

Jamal yang berpadu suara dengan pemenang Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Wany Hasrita mempertaruhkan lagu Belenggu Rindu, manakala Aishah bertanding atas tiket lagu Aku Bidadari Syurgamu dendangan asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.



“Apalah yang ada pada status legenda? Tidak perlu kita hendak bangga diri dengan status itu atau mendabik dada mengatakan ‘aku adalah penyanyi lama dan bukan taraf aku untuk menyertai AJL’.

“Sebagai penyanyi, apa sahaja yang mendatangkan minat kepada khalayak dan memberi kebaikan kepada kerjaya, saya tidak kisah untuk melakukannya.

“Saya bersyukur kerana selepas lebih empat dekad dalam industri ini, saya masih boleh menjejakkan kaki di pentas AJL.

“Saya tidak jangka berjaya sehingga ke tahap ini. Tugas saya hanya menyampaikan lagu ini dan membuatkan orang terhibur,” katanya pada sesi ramah mesra bersama finalis AJL35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, kelmarin.



Jamal yang popular dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir ini turut melabelkan golongan yang menganggap bintang legenda tidak sesuai bersaing di pentas AJL sebagai individu sombong.

“Itu sikap yang tidak digemari. Pencipta kita tak suka dengan sikap sombong.

“Kalau tidak mahu bekerjasama dengan penyanyi baharu, sikap sombong seperti itu memang tidak bagus,” katanya yang pernah menjulang trofi Juara Lagu apabila dendangannya bersama Datuk M Nasir berjudul Ghazal Untuk Rabiah, muncul juara pada AJL 1997.

 



Walaupun menerima komen yang melukakan hati, Aishah lebih bersedia berdepan dengan apa sahaja penilaian netizen terhadap persembahannya dalam AJL35. - Foto TV3
Walaupun menerima komen yang melukakan hati, Aishah lebih bersedia berdepan dengan apa sahaja penilaian netizen terhadap persembahannya dalam AJL35. – Foto TV3

 

Jika Jamal lebih selesa bersifat membumi, Aishah pula menyifatkan AJL35 menghadiahkan pengalaman baharu mengenai sikap sebenar penghuni alam siber.

Aishah atau nama sebenar, Wan Aishah Wan Ariffin yang pernah dua kali meraih trofi Juara Lagu pada 1990 dengan Janji Manismu dan Kasih Beralih Arah (1995), mengaku emosinya terusik.

Semuanya gara-gara persembahannya pada Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) Ke-35, Disember lalu, dikecam netizen .



Walaupun komen yang dilemparkan itu melukakan hati, pengalaman itu membuka mata Aishah untuk lebih bersedia berdepan apa sahaja penilaian netizen terhadap persembahannya kelak.

“Pada awalnya, saya terkejut apabila membaca komen netizen terhadap penyanyi yang mempunyai pengalaman 35 tahun dalam bidang seni.

“Sampai suatu tahap, kecaman itu memberi kesan terhadap emosi saya. Selepas menyedari kesannya, saya perlu pandai mencari jalan untuk menghadapi perkara seumpama itu.

“Mungkin saya kena elak membaca blog atau berehat seketika daripada menggunakan telefon bimbit selepas membuat persembahan pada malam itu,” katanya kepada BH Online.



Tambah Aishah, insiden itu menunjukkan ada segelintir pihak tidak menyukai dirinya tanpa sebab.

“Mereka menunggu masa untuk saya buat silap semata-mata untuk menghentam.

“Buktinya, perkongsian saya mengaji pun tidak digemari. Saya buat perkara baik pun orang tidak gemar, apatah lagi kalau perkara lain.

“Namun, peratusan mereka yang bersikap begitu tidak banyak, hanya 10 peratus,” katanya.



Ditanya apakah bakal tampil dengan persembahan berkonsep drama seperti yang pernah dilakukannya ketika menyanyikan lagu Janji Manismu dan Cinta Beralih Arah, Aishah berkata, konsep dipaparkan perlu mengambil pandangan semua pihak.

“Aku Bidadari Syurgamu berbeza dengan dua lagu yang saya pernah nyanyikan itu. Untuk lagu ini, saya hanyalah instrumen. Konsep persembahan perlu mendapat persetujuan komposer, penulis lirik, penyanyi asal dan label.

“Apa saya yang boleh memuaskan hati semua pihak, saya akur. Saya harap dengan susunan muzik yang akan dibuat nanti, saya dapat menyampaikan lagu ini mengikut cara sendiri,” katanya.

 

Shiha Zikir takjub kali pertama merasai momen indah di pentas AJL menggantikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan mendendangkan lagu 7 Nasihat. - Foto TV3
Shiha Zikir takjub kali pertama merasai momen indah di pentas AJL menggantikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan mendendangkan lagu 7 Nasihat. – Foto TV3

 

Menggantikan Siti menerusi sebuah lagi dendangan, 7 Nasihat bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta, Shiha bersyukur kali pertama merasai momen indah pentas AJL.

“Biarpun bukan dengan dendangan sendiri, saya takjub dan bersyukur atas peluang keemasan ini. Apatah lagi menggantikan penyanyi nombor satu tanah air.

“Secara peribadi, saya suka lagu ini sejak kali pertama dilancarkan. Lagu ini diadun dengan rencah dan lengkap mesej berguna.

“Lagu ini ibarat dua pertembungan antara irama dan budaya tradisi dengan elemen semasa melalui hip hop.

“Saya harap ada tuah untuk lagu ini mendapat tempat di AJL 35 kelak,” katanya.

Bagi Shiha, 7 Nasihat dilihat cukup sempurna. Kehadirannya hanya melengkapi kesempurnaan dimiliki karya berkenaan.

“Walaupun bukan penyanyi asal, tanggungjawab itu besar dan tekanan sentiasa ada.

“Saya tidak boleh buat silap. Kalau ada lagu sendiri, mungkin boleh pejam mata kalau tersasar. Tapi ini lagu milik penyanyi hebat.

“Namun, saya akan membawanya dengan cara sendiri. Lagu ini sudah cukup lengkap dan tak perlu buat perubahan ketara,” katanya.

Tambah Shiha, jika tidak terbatas dengan kekangan prosedur operasi standard (SOP), dia dan pasukannya sudah membayangkan pentas AJL35 penuh dengan penari.

“Dengan genre lagu ini ada sentuhan tradisional, dalam gambaran awal, kami mahu mengembalikan kegemilangan Irama Malaysia seperti yang pernah dilakukan Noraniza Idris dan Siti.

“Namun, semua itu sesuatu yang mustahil. Kena tunggu kejutan malam kemuncak AJL35,” katanya.

Selain Jamal, Aishah dan Shiha, finalis AJL35 termasuklah Hael Husaini mendendangkan lagu Hati; Aina Abdul (Semalam); Nabila Razali (Peluang Kedua); Floor 88 (Hutang); Amir Masdi (Kau Sakiti); Ernie Zakri (Gundah); Kaka Azraff, Noki & Tuju (Gila); Azlan & The Typewriter (Jangan Khianati Aku) dan Zizi Kirana (Eh).

AJL35: Hattan kecewa senarai lagu, juri perlu fikir luar kotak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker