PM Singapura terima dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, hari ini menerima suntikan pertama dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.
Hsien Loong, dalam catatan Facebooknya, berkata beliau menerima suntikan itu bersama Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu, Profesor Madya Kenneth Mak.
“Kami menerima suntikan vaksin awal untuk menunjukkan kepada rakyat Singapura bahawa kami yakin vaksin berkenaan selamat dan berkesan,” demikian catat perdana menteri.
Beliau turut menyertakan video diberikan suntikan vaksin berkenaan di Hospital Besar Singapura.
“Saya dan Prof Mak diawasi selama 30 minit selepas suntikan, ia sebagai pemantauan sekiranya berlaku kesan sampingan, seperti reaksi alahan. Sukacita dimaklumkan bahawa kami berdua berasa sihat,” catatnya lagi.
Hsien Loong berkata, mulai hari ini, republik itu menjalankan inokulasi terhadap petugas kesihatan dari institusi kesihatan awam.
“Kami sasar untuk memulakan proses vaksinasi kepada golongan warga emas mulai Februari dan kemudian kepada rakyat warga Singapura serta penduduk jangka panjang.
“Vaksinasi perlu dijalankan secara sukarela, tetapi saya harap apabila tiba giliran anda, anda akan melakukannya.
“Ia percuma dan akan melindungi anda serta keluarga selain dapat memelihara keselamatan semua orang,” katanya sebelum mengakhiri dengan catatan dengan singkatan namanya, LHL.
Penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 ke Singapura ialah pada 21 Disember lalu.
Republik itu memulakan latihan vaksinasi pada 30 Disember dengan petugas kesihatan di Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID) menjadi golongan pertama menerima suntikan vaksin. – BERNAMA