Penyampaian Iklan Biarlah Bersopan

Sebaran :

HARI ini ramai dalam kalangan masyarakat terbabit dalam pelbagai bentuk perniagaan dan ada yang mempromosikan pelbagai jenis produk.

Pihak kami menerima persoalan berhubung apakah hukum pengiklanan yang terdapat unsur lucah bagi mempromosikan produk mereka atau mungkin digunakan sebagai slogan atau tagline produk itu.

Terdapat tagline pengiklanan menggunakan ayat penerangan berbaur lucah untuk menunjukkan produk yang bersifat seksual terbukti berkesan dan mujarab.

HARI ini ramai dalam kalangan masyarakat terbabit dalam pelbagai bentuk perniagaan dan ada yang mempromosikan pelbagai jenis produk.

Strategi penyampaian iklan dilihat tidak sopan apabila menzahir ayat yang menggambarkan aset peribadi wanita mahupun lelaki.



Hal ini jelas tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia selain bertentangan dengan nilai Islam.

Di samping itu, model wanita sering dipamerkan sebagai subjek pengiklanan itu.

Perintah Menjaga Kehormatan Dan Larangan Menzahirkan Aurat

Aurat adalah angggota badan yang tidak boleh dinampakkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (31/44)



Umat Islam disyariatkan memelihara aurat dan menjaga maruah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka, janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” Surah an-Nur, ayat 31

Tafsiran ayat ‘Wayahfadhna furujahunna’ (kalimah dirumikan) membawa maksud memelihara kehormatan dengan cara menutup aurat dan menjaga diri daripada perbuatan zina. (Rujuk Tafsir al-Baidhawi 4/104)

Memelihara kehormatan daripada perlakuan keji atau memelihara diri daripada pandangan manusia. (Rujuk Tafsir al-Maraghi 18/98)

Ayat ‘Walayubdina zinatahunna’ (kalimah dirumikan) terdapat maksud ‘majaz mursal’ iaitu tempat meletakkan perhiasan seperti gelang, tetapi yang dimaksudkan adalah tempatnya (tubuh badan). Ini bertujuan memberikan pengertian mubalaghah (penekanan lebih) pada perintah menutupi tubuh dan menjaga diri. (Rujuk Tafsir al-Munir 18/210)



Dapat difahami bahawa perintah menjaga mata, menutup aurat dan memelihara kehormatan adalah langkah untuk menjauhi daripada kemaksiatan berlaku.

Perbuatan menceritakan atau memberitahu sesuatu perkara yang ditutup adalah sama seperti maksud mendedahkan atau menzahirkan. (Rujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua)

Model yang dipamerkan dalam pengiklanan yang berbaur lucah akan turut mencalar maruah kerana seolah-olah menzahirkan dan menceritakan aset peribadi yang bertujuan menunjukkan kesan penggunaan produk yang dipromosikan.

Pengiklanan yang menggunakan tagline penerangan berbaur lucah dengan menggambarkan aset anggota peribadi wanita mahupun lelaki boleh mengundang perkara maksiat dan membuka ruang kepada membayangkan anggota aurat mahupun timbul keghairahan.

Segala wasilah yang boleh menzahirkan gambaran atau bayangan aurat tubuh badan yang diceritakan kepada berlainan jantina adalah dilarang.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain kemudian menceritakan wanita lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya.

Hadis Riwayat al-Bukhari, No 5240

Imam al-Qabisiy berkata ketika mensyarahkan hadis di atas bermaksud: “(Hadis) Ini hujah bagi Imam Malik dalam sadd al-dzari’ah. Sesungguhnya hikmah larangan ini adalah dikhuatiri suami akan berasa takjub (tertarik) dengan sifat yang disebutkan (diceritakan oleh isterinya mengenai wanita lain) maka ia akan menyebabkan suami menceraikan isterinya atau mengidamkan wanita yang diceritakan sifatnya oleh isteri itu. (Rujuk Fath al-Baari, 9/338)

Oleh itu, wanita mahupun lelaki dilarang menjadi subjek bagi pengiklanan yang berbau lucah mahupun seks.

Hal itu sebagai langkah menutup pintu kerosakan (sadd al-dzara’i). Bahkan, implikasi pengiklanan yang menggunakan tagline lucah boleh merosakkan minda kanak-kanak dan dikhuatiri turut merosakkan masyarakat yang membawa ke lembah kemaksiatan.

Sementara itu, antara syarat kelulusan lesen billboard ialah visual yang mengiklankan minuman keras, rokok, gambar yang menjolok mata dan tata kelakuan yang kurang sopan mahupun berbentuk lucah tidak dibenarkan sama sekali dipamerkan. Visual iklan papan hendaklah dirujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mendapatkan pengesahan.

Sementara kesalahan mendirikan struktur tanpa kelulusan di bawah Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 dan kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Iklan 1980 boleh dikenakan pada tiap-tiap hari kesalahan.

Kesimpulannya, selepas meneliti hujah yang dibentangkan, mempromosikan produk dengan mempamerkan model dalam kalangan lelaki mahupun perempuan berserta tagline berunsur lucah adalah haram.

Hal ini kerana sebarang pengiklanan melalui billboard, media massa mahupun risalah yang terkandung tagline berunsur lucah boleh mengundang keghairahan kepada setiap lapisan masyarakat.

Larangan berkenaan untuk menutup pintu kerosakan yang lebih besar berdasarkan kaedah sadd al-szara’i.

Oleh itu, peniaga yang ingin melariskan produk jualan mahupun perkhidmatan mereka perlu menitikberatkan penjagaan maruah dan kehormatan selain berusaha menjauhi perkara yang boleh mengundang berlakunya kemaksiatan.

Akhir kalam, kami menegaskan agar perniaga memelihara nilai kesopanan dalam mengiklankan produk mereka-HM

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan


Sebaran :

Leave a Reply