Pendaftaran Pejuang ditolak akibat mainan politik, kata Dr M

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad menuduh kerajaan bermain politik dengan campurtangan menteri berhubung penolakan pendaftaran Pejuang oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Beliau mempersoalkan kenapa permohonan Pejuang yang diasaskannya perlu dirujuk kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, walaupun semua dokumen sudah lengkap.

Beliau berkata mengikut undang-undang, JPPM mempunyai kuasa untuk meluluskan atau menolak permohonan pendaftaran parti itu tanpa campur tangan Hamzah.



“Saya nak jelaskan Setiausaha Agung (penaja) Pejuang, Amiruddin Hamzah, kerap jumpa JPPM. JPPM beritahu secara lisan semua ‘OK’ dan boleh lulus.

“JPPM kata semua baik tetapi kena rujuk menteri (Hamzah). Ini bermakna proses pentadbiran telah jadi isu politik melampaui peruntukan undang-undang,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Terdahulu, peguam Mior Haidir Suhaimi mengesahkan JPPM menolak permohonan pendaftaran Pejuang.

Selain Pejuang, permohonan pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut ditolak JPPM.



Pada sidang media hari ini, Mahathir berkata partinya itu akan menghantar rayuan terhadap keputusan JPPM itu esok.

“Kita berpendapat akan ikut segala peraturan dan tidak ada sebab kenapa JPPM tolak kita,” katanya.

Sebelum ini, Pejuang memfailkan permohonan mencabar “kelalaian” JPPM, yang menyebabkan parti itu belum didaftarkan.

Pejuang ditubuhkan sebagai parti bebas berteraskan orang Melayu selepas kumpulan yang dikaitkan dengan Mahathir bertindak keluar PPBM dan Pakatan Harapan.



Anggota pengasas Pejuang lain ialah Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh dan Marzuki Yahaya.

HSR boleh tunggu

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak menganggap projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang dibatalkan baru-baru ini penting kerana ia tidak berbaloi dengan kos pembinaannya.

“Saya daripada lama (dahulu) pun tidak fikir projek ini penting. Boleh tunggu 10 atau 30 tahun lagi,” katanya pada sidang media sama.



Bekas perdana menteri itu berkata, jarak perjalanan kereta api itu hanya 230km dan jumlah masa yang dapat dijimatkan kira-kira 50 minit.

“Selama 50 minit itu, anda harus membayar sejumlah besar wang. Tetapi yang paling teruk, kos pembinaan HSR ini telah meningkat hampir RM80 bilion. Kita tidak akan pernah dapat wang kita kembali.”

Pada 1 Jan lalu, Kementerian Pengangkutan Singapura mengesahkan HSR dibatalkan dan Malaysia perlu membayar pampasan kepada republik itu atas pembiayaan yang ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajipan berdasarkan perjanjian dua hala yang dimeterai pada 2016.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker