Peguam, 3 rakan kongsi didenda hina Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Seorang peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla didenda RM30,000 hari ini selepas didapati bersalah tidak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam keputusan kes sivil pada 2017 membabitkan pembelian hartanah.

Tiga rakan kongsi firma pemberi pinjam wang – Ding Toh Biew, Ding Toh Gien, dan Ding Toh Lei – juga didenda RM50,000 setiap seorang kerana menunjukkan sikap tidak menghormati penghakiman mahkamah tertinggi itu.

Mereka menuduh Mahkamah Persekutuan berat sebelah, susulan perintah Mahkamah Tinggi supaya mereka memulangkan dua lot tanah di Perak dan mengalihkan sebarang halangan pada hartanah berkenaan.



Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Abdul Rahman Sebli berkata, badan penghakiman tidak akan memandang ringan sesiapa yang menghina mahkamah dan hakim.

“Hukuman dikenakan mesti menggambarkan keseriusan kesalahan, dan menghina mahkamah adalah satu daripadanya,” katanya.

Rahman, yang bersidang bersama Zaharah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim, berkata mahkamah mengenakan denda RM50,000 atau penjara sebulan kerana tiga rakan perniagaan itu langsung tidak menunjukkan kekesalan atau rasa bersalah kepada mahkamah selepas didapati bersalah.

“Sebaliknya, mereka berulang kali mendakwa bertindak atas nasihat Haniff. Ini bukannya mitigasi sebaliknya sekadar alasan,” katanya.



Rahman berkata, Haniff memohon maaf secara ikhlas dan tidak bersyarat kepada mahkamah.

Kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim: Belum ada keadilan – Haniff Khatri

“Bagaimanapun, kami mengambil kira bahawa kesalahan itu dilakukan seorang anggota kanan Badan Peguam malah juga pegawai mahkamah terhadap Mahkamah Persekutuan,” katanya.



Tiga rakan kongsi itu turut diarahkan membayar kos tambahan RM50,000 manakala Haniff RM10,000 kepada pemohon, Ling Peek Hoe serta Ling Boon Huat.

Mahkamah mengarahkan keempat-empat mereka melunaskan denda itu sebelum Jumaat.

Pada 2012, Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan saman Peek Hoe dan Boon Huat supaya firma pemberi pinjam wang di Sitiawan itu, Golden Star dan tiga rakan kongsinya, memulangkan dua lot tanah dan membuang sebarang halangan di atas hartanah itu dalam tempoh 60 hari selepas penghakiman diberikan.

Defendan berjaya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi pada 2017 keputusan itu diketepikan sebaliknya Mahkamah Persekutuan mengenakan semula keputusan Mahkamah Tinggi.



Susulan itu, Golden Star dan tiga rakan kongsi terbabit memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan itu manakala Haniff dilantik mewakili mereka.

Haniff dan tiga rakan kongsi itu dikatakan menuduh Mahkamah Persekutuan berat sebelah dan memohon permohonan semakan untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan keputusan terbabit di Mahkamah Tinggi.

Sepatutnya, permohonan penangguhan pelaksanaan itu dibuat di Mahkamah Persekutuan.

Al-Fatihah: Md. Rajihan sudah ditemui



Susulan itu, Peek Hoe dan Boon Huat, yang diwakili peguam Edmund Lim serta Hong Chang, memfailkan prosiding hina mahkamah terhadap Haniff, Golden Star serta tiga rakan kongsi terbabit.

Terdahulu, Hasnah ketika membacakan keputusan sebulat suara mahkamah terhadap mereka berkata, penghinaan terhadap mahkamah dibuktikan tanpa keraguan munasabah kerana sengaja ingkar terhadap Mahkamah Persekutuan.

“Susulan itu, kami berpendapat perbuatan responden bersifat degil dan tidak hormat,” katanya.



Hasnah berkata, tindakan hina mahkamah difailkan kerana responden mengganggu pentadbiran keadilan dan memburukkan imej hakim Mahkamah Persekutuan.

“Dakwaan sikap berat sebelah adalah serius dan akan menggugat keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman,” katanya.

Menurutnya, Haniff, yang diwakili peguam Mohamed Reza Abu Hassan, berkewajipan mematuhi perintah mahkamah dan sesiapa yang melanggarnya berisiko dikenakan tindakan hina mahkamah.

Katanya, Haniff mempunyai pengalaman lebih 20 tahun “dan bukannya orang baru.”

“Sebagai peguam dan pegawai mahkamah, dia sepatutnya melindungi martabat mahkamah. Sebaliknya, dia terang-terangan mencabar penghakiman itu,” katanya.

Peguam LK Chieng hadir bagi pihak Toh Biew, Toh Gien dan Toh Lei.

Syed Saddiq, Si Tikus Yang Tidak Jadi Terjun Bersama Labu – Labunya

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker