i-Sinar: Ramai yang i-happy, ramai juga i-kecewa, kata Najib
Najib Razak menggesa kerajaan menghapuskan segala syarat pengeluaran skim i-Sinar, berikutan ramai pencarum KWSP gagal dalam permohonan skim itu.
“Saya baca ramai yang i-happy hari ini tetapi ramai juga yang i-kecewa,” katanya di Facebook.
“Walaupun ketua kerajaan beritahu saya skim i-Sinar sudah elok dan suruh saya henti tekan kerajaan untuk hal ini, saya tetap mahu kerajaan hapuskan segala syarat pengeluaran dengan segera.”
Pemohon Kategori 1 skim i-Sinar KWSP boleh memeriksa kelulusan permohonan bermula hari ini manakala pemohon Kategori 2 boleh membuat permohonan bermula 11 Jan.
Najib turut menggesa kerajaan menggunakan kaedah sama seperti i-Lestari bagi skim itu.
Katanya, pencarum berhak mengeluarkan wang mereka sekiranya merasakan ada keperluan.
“Siapa yang rasa mereka ada keperluan, biarlah mereka keluarkan sedikit duit jika mereka masih ada baki dalam akaun. Bukan nak keluarkan semua pun. Cuma sehingga RM10,000 sahaja,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, rakyat lebih mengetahui situasi sebenar dan yakin wang yang dikeluarkan hari ini dapat diganti semula dalam masa terdekat apabila keadaan ekonomi menjadi baik.
“Percayalah rakyat sebab ini memang duit mereka,” katanya.
KWSP pada 2 Disember tahun lalu mengumumkan 2 kategori pencarum KWSP yang layak mengeluarkan wang simpanan Akaun 1 menerusi skim i-Sinar.
Kategori 1 yang layak adalah ahli KWSP yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri dan bekerja dalam sektor ekonomi gig serta ahli KWSP yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Kategori 2 pula ahli KWSP yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas.
Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum 6 bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000. FMT