Rejim China penjarakan doktor Uyghur 20 tahun

Terkini di My KMU !!!!---->

Sejuta Uyghur dan minoriti Turki lain menderita di kem tahanan

BEIJING, 16 Jamadilawal 1442H, Khamis – Seorang doktor muslim Uyghur dipenjarakan atas tuduhan keganasan dan perkara itu disahkan Beijing hari ini, sehari selepas keluarganya memberitahu ahli politik Amerika Syarikat (AS) yang dia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun.

Gulshan Abbas hilang dalam tahanan kira-kira dua tahun lalu, namun keluarganya semalam memberitahu jawatankuasa kongres AS wanita 58 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 20 tahun berikutan tindakan aktivis bagi pihak Uyghur.

Abbas – seorang doktor bersara yang fasih berbahasa Mandarin – ditahan pada September 2018, menurut keterangan dibuat kakaknya, Rushan Abbas, yang diberikan kepada Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat AS tahun lalu.

Rushan Abbas, yang berpangkalan di AS, bersuara dalam berkempen untuk pembebasan kakaknya.

“Hari ini keluarga saya berkongsi berita buruk yang kami terima pada Hari Krismas, bahawa kakak saya, Dr Gulshan Abbas, dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh rejim China,” tulis Rushan dalam ciapan twitter semalam.

Bercakap kepada wartawan, jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin berkata, Abbas dijatuhi hukuman di bawah undang-undang oleh badan kehakiman China – kononnya mengambil bahagian dalam keganasan terancang, membantu kegiatan pengganas dan mengganggu ketenteraman sosial.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai tuduhan jenayahnya.

Kumpulan hak asasi menyatakan kira-kira sejuta Uyghur dan minoriti Turki lain menderita hidup dengan keadaan seperti penjara di kem tahanan di wilayah Xinjiang, barat laut China.

Banyak negara dan organisasi Barat termasuk AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik dasar China di Xinjiang, yang baru-baru ini menunjukkan amalan buruh paksa dengan membabitkan orang Islam Uyghur.

Ia menunjukkan penyalahgunaan rantaian bekalan tekstil khususnya, di mana kapas yang dituai di Xinjiang oleh buruh paksa atau murah dipercayai membuat pakaian murah untuk pasaran Barat. – Agensi

Leave a Reply