Zahid cadangkan ‘ini masa sesuai’ untuk adakan PRU, UMNO terbuka kepada kerjasama dengan sesiapa

 

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan “mungkin inilah masa paling sesuai’ mengadakan pilihan raya umum memandangkan beberapa kelonggaran pergerakan rakyat diperkenalkan susulan pandemik COVID-19.

“Jikalau rakyat sudah dibenarkan merentas negeri dan melancong, mungkin inilah masa yang paling sesuai untuk diadakan pilihan raya umum,” kata Zahid dalam perutusan Tahun Baharunya di Facebook.

Beliau berkata UMNO berpegang kepada keperluan mengembalikan mandat kepada rakyat untuk membentuk kerajaan memandangkan kerajaan Perikatan Nasional yang ada sekarang tidak stabil.

Beliau berkata langkah itu penting walaupun pertukaran kerajaan bukan sesuatu yang sihat dan masih ramai rakyat terkesan akibat COVID-19.

PN dilaporkan hanya mempunyai majoriti sokongan tiga Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Merujuk kepada kerajaan PN, Zahid berkata kerajaan yang rapuh sokongannya adalah “realiti baharu yang perlu negara hadapi.”

Katanya, ketika ini Malaysia sedang berdepan keadaan yang mencabar dan ia memerlukan kepimpinan berwibawa.

“Sebagai pemimpin UMNO dan BN, izinkan saya mengambil langkah pertama untuk menjemput parti-parti politik dan kepimpinannya untuk mengadakan perbincangan dan buktikan kepada rakyat tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, dan Orang Asli, kita semua mampu mengangkat politik matang dan meletakkan keutamaan kepada negara yang kian merasai impak pandemik,” kata beliau.

Zahid bagaimanapun tidak menghuraikan sama ada jemputan itu terbuka kepada blok pembangkang terbesar, Pakatan Harapan yang menggabungkan PKR, DAP, dan Amanah.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dilaporkan membuat ketetapan menolak kerjasama dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dan DAP tetapi pendirian itu, menurut beberapa pemimpin, perlu diolah berdasarkan scenario politik semasa.

“Dalam politik, tidak ada yang pasti. Politik adalah pendekatan yang dicipta untuk melindungi dan memenuhi keperluan rakyat dan dalam keadaan yang luar biasa, pendekatan dan persetujuan luar biasa juga perlu dicapai. Sebagai sebuah negara, kita gagal jika isu asas tidak diambil peduli oleh kerajaan. Pintu UMNO sentiasa terbuka untuk kerjasama demi kebaikan negara,” kata Zahid

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker