Perutusan Tahun Baharu: Agong nasihat jaga SOP dan kurangkan ketegangan politik

Terkini di My KMU !!!!---->


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia dalam dan luar negara.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Baginda turut menzahirkan agar Malaysia sentiasa dirahmati nikmat keamanan dan perpaduan meskipun dilanda pelbagai ujian terutamanya pandemik COVID-19.

“Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya, Malaysia sentiasa dirahmati nikmat keamanan dan perpaduan meskipun sepanjang tahun 2020, negara yang kita cintai bersama ini dilanda pelbagai ujian.

“Ujian-ujian ini adalah sunnatullah bagi menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun.(Al-Mulk: 2),” ujar Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara itu.

RAKYAT TERUS SABAR DAN CEKAL


Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata Baginda berdua amat prihatin terhadap nasib rakyat yang terjejas terutamanya golongan yang kehilangan orang tersayang.

Justeru Baginda turut menzahirkan harapan agar rakyat terus sabar dan cekal mengharungi pandemik COVID-19 yang melanda negara ini.

“Wabak ini juga bukan sahaja telah mengancam keselamatan diri, malah menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara dan sosio-ekonomi rakyat.

Seri Paduka Baginda berdua amat prihatin terhadap nasib rakyat dan turut sama merasakan segala keperitan hidup rakyat, terutamanya golongan yang telah kehilangan orang tersayang mahupun punca pendapatan, akibat penularan wabak COVID-19 ini.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar rakyat terus bersabar dan cekal dalam mengharungi dugaan ini dan sentiasa berdoa supaya musibah yang menimpa pulih seperti sedia kala.

“Semoga dengan kehadiran vaksin COVID-19 pada awal tahun hadapan nanti akan dapat membantu melandaikan keluk pandemik dan memutuskan transmisi virus yang melanda negara sekian lamanya,” jelasnya dalam kenyataan Istana Negara itu lagi.

RAKYAT DINASIHATI JAGA SOP

Dalam kenyataan itu juga Baginda berdua turut menzahirkan kegusaran terhadap peningkatan kes positif harian COVID-19.

Justeru, rakyat dinasihati agar sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga.

“Menzahirkan rasa kegusaran terhadap kenaikan mendadak kes positif harian COVID-19, Seri Paduka Baginda berdua menasihati rakyat supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, pengorbanan wira dan wirawati petugas barisan hadapan juga tidak dilupa. Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19.

“Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang telah dicurahkan, tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak COVID-19 demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara,” jelas Ahmad Fadil.

AHLI POLITIK KURANGKAN KETEGANGAN POLITIK


Disamping itu, Baginda turut menasihati semua pihak khususnya ahli-ahli politik agar mengurangkan agenda dan ketegangan politik.
Sebaliknya, ahli politik titah Baginda jelas Ahmad Fadil, perlu bersama berganding bahu dan memberi tumpuan membela kebajikan rakyat dan mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara.

“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda berdua sentiasa inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata terpelihara dan ianya amat bergantung kepada kestabilan politik dan pentadbiran negara.

“Dalam usaha untuk mengekalkan kestabilan tersebut, Seri Paduka Baginda berdua menasihati semua pihak, khususnya ahli-ahli politik, supaya mengurangkan agenda dan ketegangan politik.

“Sebaliknya, ahli-ahli politik disarankan untuk bersama berganding bahu dan memberi tumpuan membela kebajikan rakyat serta mengutamakan proses pemulihan ekonomi negara,” katanya Ahmad Fadil lagi.

IKTIBAR CABARAN DILALUI

Tambahnya, Baginda berdua mengingatkan semua pihak perlu sentiasa bermuhasabah untuk mengambil iktibar serta teladan daripada peristiwa dan cabaran yang telah dilalui pada tahun lalu.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar keamanan dalam negara dapat dikekalkan berserta dengan keharmonian hubungan antara kaum,kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat Malaysia yang sentiasa berpegang pada prinsip rukun negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“Allah SWT sentiasa membantu orang-orang yang berusaha dan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan daya tahan yang jitu, kita mampu bersama menghadapi segala cabaran dan ujian.

“Semoga tahun 2021 dikurniakan oleh Allah SWT dengan keadaan lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu. Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan supaya para pemerintah, pemimpin dan rakyat di negara ini terus dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT,” kata Ahmad Fadil lagi.

Baginda ujar Ahmad Fadil lagi turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar Malaysia sentiasa dilindungi daripada segala bentuk ancaman, serta dikurniakan perpaudan dan kemakmuran berkekalan. Awani

Leave a Reply