Hanya satu perempat perwakilan UMNO perlu hadir mesyuarat – SUA UMNO

Terkini di My KMU !!!!---->

KUALA LUMPUR: Minimum korum kehadiran Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri di seluruh negara, yang dijadualkan 1 hingga 3 Januari ini adalah satu perempat daripada jumlah wakil yang berhak hadir.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata perhimpunan ramai yang dibimbangi meningkatkan risiko penularan COVID-19 cuba dielak, namun jumlah kehadiran perlu memenuhi syarat sah mesyuarat.

“Saya sendiri telah mengeluarkan arahan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini supaya mesyuarat bahagian empat peringkat (Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO) hanya dihadiri satu perempat daripada anggota yang sepatutnya hadir.

“Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian empat peringkat, 10 perwakilan daripada setiap bahagian, dan kalau boleh juga ketua-ketua cawangan.

Ahmad berkata, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri itu akan diadakan serentak di 191 bahagian dengan membabitkan kira-kira 764 persidangan dengan empat mesyuarat perwakilan untuk setiap bahagian.

Selain itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, berkata mesyuarat bahagian empat peringkat itu juga dibenarkan diadakan secara maya bagi kawasan zon merah, terutama yang membabitkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Walaupun menggunakan kaedah virtual (maya), AJK Bahagian empat peringkat hendaklah ada dalam dewan dan selebihnya dikumpulkan di beberapa tempat yang tidak terlalu ramai dan dipancarkan secara maya.

“… dan di kawasan zon hijau, yang cukup satu perempat, ketua bahagian kemudiannya atas inisiatif sendiri boleh menggunakan aplikasi seperti Facebook LIVE agar ucapannya didengari ramai pihak, terutamanya yang berada di kawasannya,” katanya. – BERNAMA

 

Tiada Mesyuarat Perwakilan dan Perhimpunan Agung UMNO Tahun Ini

 

Leave a Reply