Mana jati diri Melayu?

Share

Keputusan memilih ffira mikah yang didakwa berasal daripada bahasa Sepanyol, Yunani dan Arab sebagai nama untuk kemudahan awam suatu perbuatan memalukan. Ia juga tidak sopan, menghina selain tidak peka. Ini kerana kita, khususnya etnik Melayu, kelihatan amat tidak cakna kepada bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara kita.

Bagi etnik Melayu, bahasa Melayu pertama-tamanya adalah bahasa ibunda, etnik dan leluhur mereka, selain bahasa negara. Sehubungan itu, di manakah rasa keterikatan mereka kepada bahasa yang merupakan jiwa bangsa Melayu? Mengkesampingkan bahasa Melayu dalam kes ini di Kedah, antara benteng terakhir kemelayuan, sebenarnya mencerminkan dampak buruk kepada kelangsungan etnik Melayu dalam zaman modenisasi ini. Ia memperlihat kesanggupan sesetengah mereka meninggalkan tradisi untuk mendakap unsur semasa secara membabi buta.

Perbuatan ini juga adalah tidak sopan kepada bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sungguh tidak beradab sekali untuk mengambil ungkapan asing dengan mengenepikan bahasa Melayu yang berupa lambang negara.

Ia ikut menghina dari segi tidak menghormati martabat bahasa Melayu yang sepatutnya diberikan kedudukan tertinggi selaku bahasa negara. Dengan berbuat demikian, bukan sahaja citra bahasa Melayu rosak, ia menjejaskan syiarnya yang wajib dipertahan setiap warganegara pada sepanjang masa, lebih-lebih lagi dalam ranah rasmi, baik untuk urusan negeri mahupun negara.

Ia turut tidak peka kerana tidak mengambil kira perasaan masyarakat setempat di tengah-tengah perababan Melayu yang konservatif, yakni yang kuat berpegang kepada nilai tradisi Melayu dan rata-ratanya masih kuat jati diri Melayunya. Nama asing lagi pelik ini sesungguhnya bukan sahaja tidak bermakna dan mengelirukan, ia juga boleh dipertikai kerana tidak dapat dengan mudah menghubungkaitkan stadium kecil itu dengan pengertian ‘bidadari hebat’ pada namanya.

Sebenarnya perbuatan memalukan serta tidak sopan, hina dan tidak peka ini adalah hanya hujungan kecil kepada bongkah air batu besar, yakni ia baharu sebahagian kecil daripada perkara sebenar yang lebih besar. Sehubungan itu, ia berkaitan dengan kita yang tiada kebanggaan, kesayangan dan kesetiaan kepada bahasa Melayu.

Ini dapat dilihat pada banyak perkara dalam bahasa Melayu yang digantikan penggunaannya oleh bahasa lain, khususnya yang lebih berkuasa, berperstiji dan hebat tarikannya. Antaranya penamaan kereta nasional kita yang bermula dengan pelbagai nama Melayu kini digantikan nama daripada bahasa lain.

Ahli Parlimen gagal hormat bahasa Melayu ketika berbahas

Nama Stadium Mini Ffira Mikah sebelum ditukarkan kepada Stadium Mini Kuala Nerang.

HAPPY BIRTHDAY

Begitu juga dengan penggunaan bahasa Melayu secara rasmi yang sengaja digantikan dengan bentuk asing dengan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, untuk menyatakan maksud kerjasama politik, bagi yang berpendidikan Barat, mereka dengan gembiranya menggunakan ungkapan kolaborasi politik. Manakala bagi yang berpendidikan Timur Tengah, ungkapan yang digemari ialah tahaluf siyasi atau al-tahaluf al-siyasi untuk lebih nada Arabnya.

Sepatutnya ia berupa pakatan dan bukannya kolaborasi mahupun tahaluf. Oleh sebab kita ketiadaan perkatan asal untuk pengertian sama ada ehwal negara dalam bentuk kerajaan, kegiatan kekuasaan mahupun perebutan kuasa, kita bolehlah menggunakan perkataan asing politik atau siasah.

Natijahnya di sini ialah kita tidak boleh sesekali menggunakan perkataan bahasa asing dengan sekehendak hati apabila perkataannya sudah ada dalam bahasa Melayu dan telah mantap pula penggunaannya. Dengan ini, kita dilarang menggunakan perkataan konklusi kerana kita sudah ada perkataan kesimpulan.

Dalam hal ini, kita hanya boleh menggunakan bentuk asing yang langsung tiada padanan bahasa Melayunya. Untuk ini, kita boleh menggunakan perkataan setem dan seumpamanya yang merupakan perkataan serapan dalam bahasa Melayu.

Falsafahnya dalam hal ini ialah martabat bahasa Melayu ikut terletak pada sisi ketulenannya. Ini penting untuk melindungi jati diri bahasa Melayu itu sendiri dan juga etnik Melayu. Oleh itu, kita hendaklah menggunakan ungkapan selamat hari jadi untuk pengertian ulang tahun kelahiran seseorang dan bukannya happy birthday atau sanah helwa.

Selain bahasa Inggeris dan Arab, bahasa Melayu juga dipengaruhi bahasa Indonesia. Ini antaranya jelas kelihatan pada penggunaan perkataan ‘ditemui’ dan ‘menemui’ yang kini sudah digantikan dengan ‘ditemukan’ dan ‘menemukan’. Sebenarnya penggunaan imbuhan berlainan ini memperlihat penaakulan kita yang tidak sama. Melalui imbuhan ‘-i’ pada kata kerja ‘temu’, yang ditekankan ialah bendanya, manakala dengan imbuhan ‘-kan’, ia menegaskan pelakunya. Bandingkan ayat “Polis menemui mayat itu” dan “Polis menemukan mayat itu.”

Sebenarnya semua ini, yakni penggunaan bahasa sendiri berbanding dengan yang asing merupakan persoalan bahasa dan pemikiran. Sehubungan ini, semua budaya mempunyai nilai tidak sama antara satu sama lain yang diungkapkan bahasa masing-masing. Dengan ini, penggunaan bahasa, sama ada yang kita punya ataupun sebaliknya, akan mencerminkan hakikat kehidupan yang berlainan.

Oleh itu, penting sekali untuk kita terus menggunakan bahasa sendiri kerana penggunaan bahasa pihak lain akan menyebabkan pemikiran kita dipengaruhi pegangan budaya lain melalui bahasa lain itu.

PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara

Kejujuran Mempertahan Agenda Asal Muafakat Nasional

Leave a Reply