Ahli Parlimen gagal hormat bahasa Melayu ketika berbahas

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan kekecewaan dan menyelar sikap segelintir ahli Parlimen yang gagal untuk memartabatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi persidangan.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya meneliti perbahasan Sidang Dewan Rakyat yang bermula 13 Julai lalu dan melihat masih ada sewenang-wenangnya menggunakan bahasa selain bahasa kebangsaan tanpa didahului ucapan ‘dengan izin Yang Dipertua (Dewan Rakyat)’.

Menurutnya, tindakan ini jelas tidak menghormati institusi Parlimen yang telah menetapkan bahasa rasmi perbahasan adalah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Menurut Peraturan Mesyuarat 8, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat telah dinyatakan dengan jelas bahawa bahasa rasmi majlis ialah bahasa Malaysia (bahasa Melayu) tetapi Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh membenarkan penggunaan bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Muhammad Faisal menegaskan ABIM juga ingin menyelar tindakan sesetengah ahli Parlimen yang mengeluarkan bahasa kurang sopan dan seksis terhadap ahli Parlimen lain semasa berbahas.

Menurutnya, hal ini lebih malang lagi dilakukan oleh mereka yang telah menjadi ahli Parlimen selama lebih dari satu penggal.

“Peraturan Mesyuarat 36 (4) memperuntukkan bahawa ‘Adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat pernyataan yang seksis.

“Justeru, ABIM menyarankan supaya seluruh ahli Parlimen menghormati kedaulatan dan ketertinggian institusi Parlimen dengan mematuhi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Dewan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Faisal menjelaskan ABIM juga berpandangan supaya Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memainkan peranan sebagai suri tauladan yang baik kepada semua ahli Parlimen.

“Mereka harus berperanan menegur ahli Parlimen yang gagal menghormati martabat bahasa Melayu di dalam Parlimen,” katanya.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker