Debaran Ayda Jebat menunggu diijab kabul
BAKAL melangkah ke alam perkahwinan Jumaat ini, tiada rasa ragu yang membelenggu dirinya. Yakin dengan keputusan yang dibuat, kata pelakon dan penyanyi popular ini dia sudah bersedia bergelar isteri.
Berkongsi serba sedikit persiapan untuk hari bahagianya kepada Utusan Malaysia, bagi Ayda Jebat, sebagai seorang yang cukup realistik bukan kegemilangan yang dicarinya.
Hanya mahukan sebuah majlis yang cukup bermakna buat dia dan bakal suami. Tambahnya, tiada apa yang lebih melegakan selain memastikan majlis pernikahannya ini berlangsung dalam suasana yang mudah.
“Saya tidak rasa terkilan, ada orang mahu buat secara besar-besaran tetapi macam saya memang tidak ada impian majlis perkahwinan. Dalam keadaan ini kami memilih hanya meneruskan yang wajib dahulu. Jadi majlis pernikahan akan berlangsung di masjid.
“Jemputan pula tidak lebih 50 orang termasuk keluarga dan rakan terdekat sahaja. Untuk majlis resepsi sepatutnya saya mahu buat pada Februari ini, namun difahamkan tempahan hotel berkenaan sudah penuh. Mungkin dianjak ke Mac atau April,” katanya yang bakal bernikah dengan tunangnya Nabil Mahir, 32, pada 1 Januari 2021.
Mengenai perasaannya ketika ini, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat memberitahu, dia sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baharu hidupnya.
“Tidak ada rasa ragu-ragu, saya yakin dengan keputusan yang saya buat. Memang saya seronok nak berkahwin.
“Soal bersedia atau tidak untuk menjadi seorang isteri rasanya bukan sesuatu yang boleh saya jawab kini sebab belum lagi melaluinya. Tetapi saya akan tetap lakukan yang terbaik selain sentiasa mendengar nasihat mereka yang lebih berpengalaman,” katanya.
Hanya bercuti sehari sebelum majlis pernikahan, ada yang melihat ini mungkin situasi janggal untuk bakal pengantin seperti dirinya. Namun jelas Ayda, dalam memastikan jadual kerjanya tidak tertangguh ini antara pengorbanan yang perlu dilakukan.
“Saya hanya cuti sehari sebelum hari bernikah, kerana masih ada kerja yang perlu saya selesaikan. Takut juga kalau kerja-kerja ini tertangguh. Namun selepas berkahwin saya sudah ambil cuti untuk meluangkan waktu bersama keluarga,” katanya.
LAMARAN JADI PERHATIAN
Pernah menjadi perhatian melalui lamaran perkahwinan romantis tunangnya sebelum ini, ternyata apa yang dilalui Uqasha dan Kamal Adli ketika ini juga pernah dilalui Ayda dan Nabili.
Tidak melihat ada sebab untuk rakan selebritinya yang lain sengaja mewujudkan gimik kata Ayda, dia yakin setiap pasangan hanya mahu mencipta momen indah dalam setiap perhubungan.
“Saya tidak boleh komen banyak soal ini, jujurnya setiap pasangan itu pasti mahu mengingati setiap momen indah mereka.
“Ada yang memilih untuk melakukannya di hadapan kamera ada juga yang tidak suka kamera tetapi memilih untuk didampingi rakan-rakan ketika membuat lamaran.
“Jujurnya dalam tempoh ini apa yang penting momen itu sendiri dan bagaimana pasangan itu mahu menghargainya. Pada saya tiada apa yang salah.
“Bukan soal tidak hormat dan sebagainya. Sepatutnya apa yang dikongsi itu menjadi perkara yang menggembirakan untuk pasangan itu. Jadi tidak patutlah kita memberi tekanan pula. Lebih baik mendoakan yang terbaik sahaja,” katanya.
Menjadi antara artis yang cukup aktif di laman sosial ternyata penyediaan isi setiap muat naiknya mewujudkan hiburan berbeza buat peminat. Walaupun ramai yang tertunggu perkongsian kehidupan penyanyi lagu Temberang selepas berkahwin, kata Ayda, dia sentiasa meletakkan logik dalam setiap perkongsiannya.
“Ada benda yang boleh dikongsi saya akan kongsi tetapi kalau melibatkan sesuatu yang sensitif saya tidak akan muat naik.
“Tetapi tidaklah semuanya berkisar mengenai kisah saya dan Nabil sahaja, kita akan pelbagaikan. Kerja dan saya dengan orang lain juga,” katanya,
SEKSI?
Sementara itu bercakap mengenai muzik video terbaharunya Parah yang dikatakan terlalu seksi, penyanyi berusia 28 tahun ini melihat adalah sukar untuk dirinya ketika ini mahu memuaskan hati semua pihak.
“Mengenai muzik video ini saya memang mahu membawa konsep sebegitu, jujurnya ini adalah muzik video yang paling sukar. Saya memerlukan dua hari untuk penggambaran di empat lokasi berbeza.
“Mungkin ada yang melihat penari saya didalam muzik video itu seksi tetapi sebenarnya konsepnya sama sahaja dengan muzik video saya sebelum ini. Mungkin dahulu mereka tidak kenal, sekarang baru jadi isu.
“Cuma buat masa ini saya tidak boleh buat apa sebab kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Jika tidak suka jangan tengok sahaja,” katanya.
You must be logged in to post a comment.