Sudah sebati: Saya sentiasa Umno, kata Ku Li

Terkini di My KMU !!!!---->

Sejak akhir-akhir ini, nama ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sering timbul dengan pandangan yang dilihat menongkah arus.

Ini khususnya berkaitan pendirian partinya Umno berhubung kerjasama politik serta sokongan terhadap perdana menteri dari Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Malah, tindakan pengerusi lembaga penasihat Umno itu berkongsi pentas dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika mereka meramal kemungkinan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dua minggu lalu, mengundang kritikan daripada Umno sendiri.

Dikatakan, ada yang sehingga mahu veteran Umno yang dikenali dengan panggilan Ku Li itu dirujuk ke jawatankuasa disiplin parti dan dipecat, meskipun hal itu nampaknya tidak akan berlaku.

Namun, bagi Tengku Razaleigh sendiri, hatinya sudah begitu sebati dengan perjuangan Umno dan memberi bayangan bahawa dia akan terus kekal bersama parti tersebut.

Katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini kelmarin, sejak dahulu sehingga kini, dia tidak pernah sekali pun meninggalkan Umno.

“Mengapa saya nak keluar daripada Umno? Saya memang sebati dengan Umno.

“Itu sebab saya berada dalam Umno sepanjang masa,” katanya ketika ditanya berkenaan kebarangkalian dia akan meninggalkan parti.

Katanya, tidak seperti tanggapan sesetengah pihak yang menuduhnya keluar Umno untuk menubuhkan parti Semangat 46, katanya parti itu ditubuh setelah Umno diharamkan oleh mahkamah pada 1988, ekoran pertikaian mengenai perwakilan cawangan ketika itu.

Mahathir dan Ku Li sama-sama berlakon: Siapa makan siapa

Logo Parti Melayu Semangat 46 yang masih berdiri di Galas, Kelantan

 

Jelasnya, penubuhan parti itu bukanlah bermaksud dia mengorak langkah berasingan daripada Umno.

Sebaliknya, katanya, Semangat 46 ditubuhkan atas cadangan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman memandangkan dia dan sebahagian ahli Umno tidak diterima menyertai Umno Baru yang ditubuh Dr Mahathir.

“Tapi apabila Dr Mahathir ajak saya berunding, dan pelawa kita semua masuk balik ke dalam Umno yang ditubuh olehnya, maka kita rela bubarkan Semangat 46.

“Kerana kita tak ada niat nak berasingan daripada kelompok yang sama,” kongsinya.

Tengku Razaleigh sebelum ini lantang menggesa agar kerjasama Umno dengan Bersatu dan PAS dikaji semula, dan menghantar surat menggesa speaker Dewan Rakyat membenarkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri untuk dibahaskan.

Dia turut menghantar surat mengajak ahli-ahli parlimen supaya menyokong usul “undi tidak percaya” berkenaan.

Sebanyak 25 usul tidak percaya dan dua usul percaya terhadap perdana menteri telah dikemukakan dan disenaraikan, tetapi tidak didahulukan dalam aturan mesyuarat.

Sejak mengambil alih kerajaan daripada PH pada hujung Feb lalu, sokongan majoriti dimiliki Muhyiddin memang menjadi pertikaian banyak pihak.

 

Ku Li malu Zahid setuju jadi ahli majlis presiden PN

 

Di sebalik spekukasi ia bakal ditolak menerusi undi belah bahagi di parlimen – yang dilihat sebagai proksi undian kepercayaan – Belanjawan 2021 diluluskan hanya menerusi undian suara di peringkat dasar, dan menang semua undi belah bahagi di peringkat jawatankuasa dan bacaan ketiga.

Meskipun begitu, tegas Tengku Razaleigh, sokongan majoriti yang dimiliki seorang perdana menteri harus juga dibuktikan di Dewan Rakyat menerusi undian kepercayaan, bukan semata-mata berdasarkan undian belanjawan, apatah lagi menerusi akuan bersumpah.

Keabsahan kerajaan PN

Mengulas panjang lebar berkenaan peri pentingnya keabsahan sesebuah kerajaan ditentukan, katanya, ia membabitkan keyakinan rakyat serta keyakinan pelabur yang menilai kestabilan sesebuah kerajaan sebelum melakukan pelaburan.

“Masalahnya besar,” katanya, lebih-lebih lagi ketika musim Covid-19 yang menyaksikan banyak perniagaan gulung tikar dan ramai rakyat hilang kerja dan menganggur atau dipotong gaji.

“Ini bergantung kepada keyakinan. Keyakinan yang boleh menstabilkan keadaan politik. Orang luar akan beri pandangan positif kepada kita sekiranya ada kerajaan yang sah , ini yang penting.

“Kalau mereka yakin, maka pelaburan akan bertambah, peluang perniagaan dan pekerjaan akan bertambah, maka akan memudahkan kedudukan dalam negara. Keadaan ekonomi baik, keadaan politik pun akan bertambah baik. Tidakkah itu menguntungkan kita semua?” soalnya.

Muhyiddin Yassin

 

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata dia tidak akan mengutamakan usul undi tidak percaya kerana tiada kuasa berbuat demikian, sebaliknya katanya, soal majoriti Muhyiddin boleh sahaja dibuktikan di luar parlimen seperti kes pertukaran kerajaan negeri di Perak pada 2009 dan Sabah pada 2018.

Sementara itu, disoal apakah dia akan bertanding dalam PRU-15, Tengku Razaleigh menyerahkan hal itu kepada rakyat dan partinya untuk ditentukan.

One thought on “Sudah sebati: Saya sentiasa Umno, kata Ku Li

  • December 30, 2020 at 18:19
    Permalink

    What about semangat 46

    Reply

Leave a Reply