‘Kacang’ je…
Siapa sangka pada usia 14 tahun, seorang remaja perempuan boleh melakukan kerja asas pertukangan dengan baik dan kemas serta menjadi tukang rumah.
Dek kerana minat, Mya Elzahraa pelajar tingkatan satu di Sekolah Seri Puteri Cyberjaya itu tidak ada masalah untuk memasang, membaiki bumbung rumah serta kerja-kerja lain yang berkaitan.
Menurutnya, dia berminat dengan kemahiran bertukang bapanya, Fairuz Mohamad sejak menuntut di tahun tiga dan bertindak menjadi pembantu setiap kali ada tawaran membaiki rumah.
“Saya mula sebagai pembantu ayah. Mulanya hanya tolong hulur barang kerana agak susah untuk naik turun dari tempat tinggi.
“Lama-lama saya jadi seronok dan mula belajar buat kerja lain seperti membaiki bumbung, atap dan kerja-kerja pemeriksaan kebocoran,” katanya kepada Harian Metro.
Mya berkata, walaupun perempuan, dia tidak berasa malu atau kekok untuk melakukan kerja yang lazimnya dipelopori orang lelaki kerana minat yang mendalam.
Menurutnya, dia juga pernah membantu bapanya membaiki peralatan asrama sekolah awal tahun lalu dan ia adalah perkara ‘kacang’ baginya.
“Saya pun tidak tahu apakah saya akan terus berkecimpung dalam bidang ini sebagai kontraktor atau apa, tetapi yang jelas saya memang sukakan kerja sebegini.
“Sekarang, saya mengambil upah daripada ayah untuk kerja asas terutamanya membabitkan pembaikan bumbung kerana itu adalah kemahiran saya.
“Selain itu, saya buat juga kerja-kerja lain untuk bantu ayah terutama ketika musim cuti seperti sekarang,” katanya yang mengakui pernah bercita-cita untuk menjadi guru.
Sementara itu, Fairuz berkata, anaknya itu mempunyai kesungguhan untuk belajar dan mahir dengan cepat.
Kini, mereka seperti rakan kongsi dan akan menyerahkan sepenuhnya kerja-kerja pembaikan bumbung kepada Mya jika ditawarkan projek.
“Dulu dia pembantu, sekarang rakan kongsi. Saya sentiasa beri galakan kerana bukan senang seorang anak perempuan dapat melakukan kerja seperti ini.
“Tambahan lagi kalau bagi kerja bumbung, memang laju saja dia buat, malah kadang-kadang lebih teliti daripada saya dan kerjanya pun lebih kemas,” katanya.
Bagaimanapun, Fairuz yang juga Presiden Kelab Perantau 11 tetap mahukan anaknya itu mengutamakan pelajaran demi masa depannya.
Katanya, dia tidak menghalang Mya untuk meneruskan minatnya dalam bidang pembinaan dan berharap agar ‘rakan kongsinya’ itu berjaya satu hari nanti.-HM