Pesakit tanpa gejala kuarantin di rumah adalah tanda amaran – Dr Dzulkefly

Saranan agar pesakit Covid-19 tanpa gejala menjalani kuarantin diri di rumah adalah petunjuk amaran bahawa Malaysia mungkin berada di titik terburuk wabak itu setakat ini, kata bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkelfy Ahmad.

Portal Malay Mail memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengenai peraturan baru itu, yang mengatakan fasiliti kesihatan kini sesak akibat jangkitan baru yang terus melepasi angka 1,000 kes setiap hari.

Ini merupakan perubahan ketara dalam protokol pengurusan wabak itu di Semenanjung Malaysia.

Sebelum ini, semua kes positif – tidak kira sama ada menunjukkan gejala – atau tidak – akan dimasukkan ke hospital.



Bercakap kepada Malaysiakini, Dr Dzulkefly berkata protokol yang sama digunakan di Sabah pada Okt lalu ketika kemuncak wabak melanda negeri itu.

“Ketika dia (Hisyam) memberitahu perkara ini, ini semua merupakan tanda amaran bahawa lengkungan telah melepasi keupayaan (sistem) kesihatan.

“Ini bukan perkara baru – inilah yang sebenarnya berlaku di Sabah,” kata anggota parlimen Kuala Selangor itu.

Hospital di Sabah sebelum ini sesak apabila katil sedia ada tidak mampu menampung jumlah pesakit, manakala petugas barisan hadapan dan sukarelawan juga dijangkiti.



Dzulkefly – yang mengetuai Pasukan Petugas Covid-19 (STFC) kerajaan Selangor – berkata saranan untuk menempatkan pesakit Covid-19 yang kurang teruk di rumah tidak dapat dielakkan sekiranya lebih ramai pesakit dimasukkan ke hospital berbanding mereka yang pulih.

“Sekali kita dah masuk ke tahap itu, ia sudah tidak ada lagi pilihan.

“Tidak ada pilihan lagi kerana jika kamu menempatkan juga semua kes bergejala di hospital, tidak lama lagi hospital kita akan dibanjiri.

“Bila (hospital) jadi sesak, maka kita akan melihat lebih banyak kematian,” kata pakar toksikologi itu.



Malaysia mencatatkan lebih 1,000 kes Covid-19 baru setiap hari sejak 9 Dis lalu.

Sebilangan besar jangkitan ini berlaku di Lembah Klang (Selangor dan Kuala Lumpur), dengan jumlah kes kini melebihi Sabah. Kes positif di Johor juga meningkat.

Garis panduan khusus, pusat kuarantin

Dzulkefly mencadangkan agar Kementerian Kesihatan menguatkuasakan langkah-langkah kuarantin di rumah yang ketat untuk mencegah virus berkenaan merebak kepada anggota keluarga atau rakan serumah pesakit.



Ini termasuk mekanisme bagi pesakit untuk sering melaporkan kegiatan mereka kepada pihak berwajib melalui aplikasi telefon bimbit seperti MySejahtera dan SELangkah.

Anggota Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii juga menggesa kementerian mengeluarkan garis panduan khusus kepada pesakit yang berkenaan.

“Saya harap kementerian akan mengeluarkan panduan baru secepat mungkin untuk mendidik mereka yang diuji positif yang perlu menjalani prosedur kuarantin di rumah.



“Bukan hanya tinggal di rumah, tetapi pengasingan yang betul dalam bilik tertentu dan tidak berkongsi tempat seperti bilik mandi dan dapur. Sebaik-baiknya, seluruh isi rumah juga mesti mengasingkan diri di rumah untuk mengurangkan risiko menyebarkannya kepada masyarakat atau tempat kerja mereka, ”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelvin yang juga seorang doktor perubatan mencadangkan agar lebih banyak penjejakan kontak dilakukan untuk mempercepatkan proses ujian saringan.

“Cara terbaik untuk mengekang penyebaran adalah mempercepatkan penjejakan kontak dan secara ideal ia harus dilakukan dalam tempoh 24 jam, maksimum 48 jam.

“Semakin cepat kita dapat kesan, semakin cepat kita dapat asingkan diri untuk kurangkan risiko penyebaran lebih banyak kepada masyarakat, ”kata anggota parlimen DAP itu.



Mengakui bahawa pematuhan terhadap prosedur kuarantin di rumah sangat sukar, Dzulkefly mencadangkan agar kementerian menempatkan pesakit Covid-19 tanpa gejala di pusat kuarantin.

“Saya terkejut mengapa kita tidak melakukan semua perkara yang telah mereka lakukan sebelum ini, seperti pusat kuarantin. Ini akan memudahkan kawalan lebih baik,” katanya. Mk

Hospital tidak lagi mampu tampung pesakit Covid yang banyak – Dr. Noor Hisham

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker