BN boleh kembali kuat jika disertai parti Melayu lain

Seorang penganalisis politik berkata, kekuatan Barisan Nasional dahulu yang lebih banyak mengharapkan kekuatan UMNO dapat dikembalikan, jika ia menerima parti berasaskan Melayu lain yang berhasrat menyertai gabungan itu.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan mencadangkan BN menarik parti lain seperti PPBM, PAS atau Amanah menyertainya.

“Dengan pengundi Melayu di bawah satu organisasi, iaitu BN dan dibantu walaupun secara minimum oleh gabungan MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta rakan mereka, maka BN akan jadi tarikan kepada pengundi pelbagai kaum,” katanya kepada FMT.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, tiada salahnya BN menerima parti lain yang berhajat menyertai gabungan itu.

Ini kerana, katanya, BN perlu mengumpul semula kekuatannya, termasuk daripada parti lain yang mempunyai kelebihan tersendiri, selepas kalah pada pilihan raya umum ke-14 lalu.



Timbalan presiden UMNO itu berkata, sebarang keputusan berhubung penyertaan parti baru dalam BN perlu mendapat konsensus daripada empat parti komponen, iaitu UMNO, MIC, MCA dan PBRS.

Beliau berkata demikian susulan permohonan Makkal Sakti untuk bertanding atas tiket BN pada PRU15.

Mohamad berkata, perkara itu wajar dipertimbang pucuk pimpinan BN memandangkan Makkal Sakti masih setia menyokong gabungan itu walaupun hanya berstatus parti rakan.

Azmi berkata, BN sememangnya jenama yang sudah diuji dan diyakini pengundi, seperti yang terbukti dalam beberapa pilihan raya kecil dimenanginya selepas PRU14.



Beliau tidak menafikan BN menjadi pilihan pengundi kerana kekuatan UMNO.

Bagaimanapun, katanya, jika BN menerima penyertaan parti kecil lain, ia hanya dapat menguatkan gabungan itu pada tahap tertentu saja.

“Secara teorinya, gabungan Makkal (Sakti) dan MIC mampu tarik pengundi India dan begitu juga gabungan MCA dan parti berasaskan Cina lain serta PBRS bersama parti Borneo lain boleh lakukan serupa,” katanya sambil menambah impak politik itu tidak kuat disebabkan pengaruh MIC, MCA dan PBRS.

Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia berkata, BN perlu mencari sekutu politik yang boleh menguatkan gabungan itu, selain MCA dan MIC.



Katanya, ia memerlukan parti bukan berasaskan Melayu yang boleh melengkapi sokongan orang Melayu kepada UMNO.

“Parti di Sabah dan Sarawak patut bersama BN untuk kukuhkan sokongan.”

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, cadangan Mohamad mungkin mengambil kira perubahan lanskap politik dalam negara, tetapi ia perlu diperhalusi Dewan Tertinggi BN.

BN dalam keadaan baik, kami dengar aduan MIC dan MCA, kata Tok Mat



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker