Adik Guan Eng setuju feri PP dihentikan di Dewan Negara
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk menggantikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan katamaran atau teksi air.
Beliau berkata, perkara itu juga dipersetujui oleh adik Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang merupakan seorang Senator.
“Adik Lim yang juga Senator sekarang, iaitu Lim Hui Ying, juga bersetuju dengan langkah ini.
“Nampaknya keluarga Lim harus mengadakan pertemuan keluarga untuk menyeragamkan pandangan mereka,” katanya sambil memaparkan penyataan rasmi Lim Hui Ying di Dewan Negara bertarikh 17 Dis lalu di Facebooknya.
Lim semalam berkata, pembatalan perkhidmatan feri Pulau Pinang merupakan konfrontasi terbuka kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap rakyat negeri itu yang diketuai oleh MCA dan Wee.
Lim berkata, MCA dan Wee tidak akan dimaafkan atau dilupakan oleh rakyat Pulau Pinang kerana “politik balas dendam” itu.
Dalam pada itu, Wee berkata, Lim adalah individu yang benar-benar merosakkan nilai warisan berharga Pulau Pinang.
“Cuba jawab, siapakah yang melakukan penambakan tanah dan memusnahkan bukit-bukau di Pulau Pinang,” soal Wee.
Wee juga bertanya sama ada keputusan menggantikan perkhidmatan feri yang terdedah kepada kerosakan dengan katamaran merupakan langkah yang lebih praktikal untuk melindungi keselamatan orang ramai dan lebih bermanfaat bagi industri pelancongan dan pengangkutan negeri itu.
Katanya, tindakan Lim seolah-olah “berlagak” seperti ketua menteri Pulau Pinang.
“Walhal ketua menteri Pulau Pinang yang diiktiraf oleh kerajaan Persekutuan tidak lain tidak bukan adalah Chow Kon Yeow.
“Apa jua keputusan mengenai perkhidmatan feri, saya dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berbincang terus dengan ketua menteri yang sahih, Chow,” katanya.
Wee berkata, rakyat Pulau Pinang “keliru” seolah-olah Pulau Pinang mempunyai dua orang ketua menteri.
“Chow sebagai ketua menteri hari bekerja, manakala Lim adalah ketua menteri hari minggu,” katanya. FMT
Kerajaan pertimbang jadikan feri PP restoran terapung, muzium