LONDON: United Kingdom dijangka mula menggunakan vaksin COVID-19 buatan Universiti Oxford mulai 4 Januari depan.

Memetik laporan The Sunday Telegraph berdasarkan pelan yang dirancang barisan kabinet, vaksin buatan Universiti Oxford bersama syarikat farmaseutikal AstraZeneca bakal menjadi vaksin kedua yang dilancarkan dalam program imunisasi UK.

Ia susulan vaksin buatan Pfizer dan Biontech mula digunakan terhadap golongan paling berisiko pada awal Disember lalu, termasuk warga emas dan petugas kesihatan.

Kerajaan berharap dapat membekalkan dos pertama vaksin kepada dua juta orang sepanjang dua minggu akan datang.

Lapor akhbar itu, vaksin buatan Oxford-AstraZeneca dijangka mendapat kelulusan pihak berkuasa UK dalam beberapa hari lagi.

Kerajaan UK telah memeterai perjanjian bersama AstraZeneca bagi membekalkan 100 juta dos vaksin yang dibangunkan syarikat tersebut.

Tekanan semakin meningkat terhadap kerajaan untuk bertindak dalam melawan wabak berkenaan menjelang tahun baharu, terutama dengan kemunculan varian baharu COVID-19 yang semakin berleluasa di negara itu.

Vaksin Oxford-AstraZeneca tidak memerlukan suhu ekstrem untuk disimpan berbanding vaksin Pfizer-Biontech yang perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

AstraZeneca juga komited untuk memastikan negara miskin mempunyai akses kepada vaksinnya dengan mengekalkan kos rendah bagi setiap dos, iaitu dalam lingkungan AS$3 ke AS$4 (kira-kira RM12 ke RM16).