Takiyuddin perlu jawab apakah main kayu tiga bukan konspirasi?

CADANGAN agar Barisan Nasional menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tidak akan membawa perpecahan dalam masyarakat dan negera.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menjawab teguran Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan agar beliau mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negara, berkata, pandangan yang dilontarkannya itu adalah demi rakyat.

“Ini untuk rakyat, kerana janji memudahkan rakyat tidak dipenuhi. Apabila Pas berkawan dengan DAP, apakah itu perpecahan Melayu? Apabila PAS berpisah dengan DAP, ia juga tidak dianggap sebagai perpcahan masyarakat dan negara.

“Peluang penyatuan terbesar ialah apabila UMNO dan PAS tandatangan Piagam Muafakat Nasional. Peluang itu akan terlepas begitu sahaja kerana banyak sangat pakatan, gagasan dan gabungan yang mahu disertai,” jelas Mohd. Puad.

Takiyuddin dalam ciapan di Twitternya semalam menyindir Mohd. Puad yang mahu agar BN menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, legasi paling murni bagi seorang pemimpin sejati adalah merangka dan mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negara.

Dan perpaduan, katanya perlu diasas atas kejujuran, jika tidak ia adalah tidak lebih baik daripada satu konspirasi.

“Tidak pasti siapa pemimpin legasi yang Takiyuddin maksudkan. Tidak mungkin saya. Saya hanya ahli politik biasa yang bersuara ikut “hati nurani” saya,” kata Mohd. Puad.

Mohd. Puad bagaimanapun sependapat dengan Takiyuddin berkaitan soal kejujuran politik.

Katanya, Ahli Parlimen UMNO sudah pun menunjukkan sikap jujur dengan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupun Presiden Bersatu itu terlibat dalam konspirasi menjatuhkan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah membuat kenyataan secara jujur dan terbuka mengenai sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

“Bahkan Datuk Najib juga secara jujur membuat kenyataan terbuka, jika tiada perubahan dan kerajaan PN terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah, BN masih ada cara untuk bertindak. Semua itu terbuka. Tiada sembunyi sembunyi.

“Pas mungkin selesa, kerana dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional tiada Amanah. Tiada siapa kacau. Justeru, yang perlu Takiyuddin jawab ialah, apakah main kayu tiga bukan konspirasi?” tanya Mohd. Puad.-SM

Takiyuddin sindir Puad Zarkashi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker