Zahid dalam Majlis Presiden PN untuk pantau dasar kerajaan – Tajuddin

Terkini di My KMU !!!!---->

Penglibatan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Majlis Presiden kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertujuan memantau dasar yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Ahmad Zahid kepada beliau.

“Saya sendiri bertanyakan kepada presiden parti mengenai penglibatannya dan beliau menjelaskan ia semata-mata memantau perjalanan pentadbiran kerajaan kerana wakil rakyat Umno sendiri berada dalam kerajaan PN.

“Takkan Umno tak perlu berbincang apa-apa isu jika ia berkaitan dengan kepentingan rakyat kerana apa-apa isu yang ditimbulkan rakyat, Umno juga sama-sama menanggung beban dan terpaksa menjawab dengan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kelengkapan sekolah kepada 300 pelajar kurang berkemampuan pada Program Sejambak Kasih ‘Back-to-School’ di Pasir Salak, hari ini.

Tajuddin yang juga ahli parlimen Pasir Salak mengulas kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah pada Khamis lalu yang “malu” dengan keputusan “aneh” Ahmad Zahid menyertai Majlis Presiden PN memandangkan Umno bukan ahli PN.

Sementara itu, Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno berharap PAS dapat segera membuat keputusan sama ada mahu bersama-sama dengan Muafakat Nasional (MN) atau PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

“PAS perlu buat keputusan dan menyatakan pendirian dengan jelas kerana kita tidak mahu kelam-kabut apabila hendak pilihan raya, baru nak buat keputusan

“Bagaimanapun, kita tidak akan mudah kecewa (sekiranya PAS tidak mahu bekerjasama dengan Umno), kalau terpaksa berdiri sendiri pun kita yakin kita boleh menang (PRU15) tetapi kalau boleh kekal kerjasama antara Umno dan PAS, itu lagi baik,” katanya. Bernama

Bersatu jika mahu menang, Tajuddin beritahu Umno sebelum Anwar ke Istana

Leave a Reply