JAKIM perkukuh penguatkuasaan, SOP sijil halal barangan import

KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memperkukuhkan lagi penguatkuasaan serta prosedur operasi standard (SOP) dalam memberi kelulusan sijil halal melibatkan barangan import termasuk daging.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata ini bagi memastikan setiap rakyat terutamanya umat Islam mendapat bekalan makanan yang halal, bersih serta mengikut hukum syarak.

“Pihak kerajaan termasuk JAKIM akan terus memperkukuhkan lagi SOP termasuk kawal selia dan sekiranya perlu menambah kakitangan (JAKIM), maka kita akan buat pengambilan staf juga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Berkhatan Peringkat Pengkalan Chepa di Dewan Pusat Asuhan Tunas Islam di Pengkalan Chepa.

 

 

Sebelum ini, media melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pihaknya juga akan meningkatkan lagi kolaborasi dengan pelbagai agensi terlibat seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berkata JAKIM mengadakan pertemuan dengan 80 pendakwah selebriti Khamis lepas, bagi mendapatkan pelbagai input berhubung medium dakwah yang disampaikan mereka.

“Kita jumpa bagi menyatakan aspirasi kerajaan dan juga membuka ruang kepada mereka untuk memberi cadangan dalam mempelbagaikan pengisian di siaran televisyen dan media sosial dengan program yang holistik dan juga memupuk satu budaya yang lebih baik.

“Kerajaan juga mengambil inisiatif ini untuk meminta pandangan daripada pihak ketiga seperti pendakwah selebriti dan semua cadangan itu kita akan proses serta sesuaikan untuk pelaksanaannya melalui media,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker