Tarik sokongan terhadap PN, sekarang masa paling sesuai – Mahfuz

KUALA LUMPUR: Jika mahu menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), sekarang adalah masa paling sesuai, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, sekarang difikirkan masa terbaik kerana semua pihak harus mengelak daripada berlakunya pilihan raya tatkala kes COVID-19 masih lagi tidak menentu.

“Ini merupakan salah satu daripada proses pengabsahan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada beliau benar-benar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen atau tidak.

“Sehingga kini beliau masih belum mendapat keabsahan secara tuntas kerana usul berkaitan keabsahan itu tidak diangkat menjadi usul yang diundi di Dewan Rakyat.

“Cuma ada usul berkaitan bajet, itu pun dengan perbezaan sedikit undi. Undi ini tidak mencerminkan kedudukan kerajaan pimpinan Muhyiddin ini kerajaan yang kuat tapi ia adalah kerajaan yang lemah,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Tambahnya, Ahli Parlimen Pagoh itu juga harus sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan sebarang usaha membuktikan keabsahan kerajaan beliau kelak.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menggesa ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) melakukan tindakan berani dengan menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

UMNO timbang tarik diri sokong PN

Mohd Puad berkata cadangan beliau itu susulan kegagalan kerajaan dipimpin Muhyiddin mengotakan janji.

Ini terutamanya dalam mempermudahkan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian enam bulan moratorium secara automatik.

“Betul, MP akan dipertanggungjawabkan. Mereka sahaja yang boleh mengundi. Harga seorang MP memang mahal. Lebih mahal jika mereka melakukan “keberanian politik”.

“Justeru apa langkah seterusnya yang boleh dilakukan? Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai PM. Nampak macam kamikaze. Tetapi apa salahnya, demi rakyat.

“Mungkin tidak semua MP BNBBC sanggup. Lima tarik sokongan pun Alhamdulillah. Tiga pun okay. Gunakan hati nurani,” katanya menerusi Facebook miliknya, pada Khamis.

Skandal Terowong : Bagaimana Dap menipu rakyat (video)

 

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker