Seperti apakah kepemimpinan kini?
Oleh Atriza Umar
Tentunya kita belum terlambat untuk menangani perubahan untuk membina sebuah negara yang pemimpinnya berwibawa dan rakyatnya hidup sejahtera serta memupuk potensi yang ada untuk kemakmuran semua.
Pada masa yang sama, kepimpinan yang ada perlu berusaha menangani masalah yang sering tercetus seperti isu perpaduan, hak asasi manusia, pendidikan, kesihatan, kepelbagaian identiti dalam masyarakat dan paling utama sekali menangani rasuah yang boleh menjatuhkan masyarakat.
Kegagalan kepemimpinan di beberapa negara kebanyakkannya disebabkan oleh nilai keadilan yang lemah.
Keadilan adalah nilai asas dalam hak asasi manusia untuk hidup selain tindakan yang adil, bermaruah dan pelaksanaan undang-undang.
Ini bertentangan dengan ketidakadilan yang selalunya melibatkan penyalahgunaan kuasa serta pelbagai jenayah senyap lain yang dilakukan para pemimpin.
Sebaliknya, terdapat pelbagai sumber menyatakan isu-isu ketidakadilan, pengikisan keadilan sosial, amalan rasuah akan semakin meningkat di tahap luar jangka terutamanya setelah hilangnya Covid-19.
Situasi ini menimbulkan persoalan, bagaimana mereka yang demografinya berkembang dengan ketidakadilan dapat mempertahankan kestabilan, pembangunan dan kesatuan antara mereka? Perlulah kita fikirkannya.
Profesor sains politik di Universiti Kuwait, Dr Shafiq Nazem al-Ghabra berpendapat sesebuah negara tidak akan dapat menahan tekanan dari negara-negara besar bahkan negara-negara serantau dan tidak dapat memenuhi kepentingan masyarakatnya, membatasi ketidakadilan dan mencegah amalan rasuah di tangan minoriti dengan mengorbankan majoriti.
Menurut beliau lagi, dikatakan dalam kepemimpinan ketenteraan; tidak ada tentera yang gagal, tetapi pemimpinlah yang mengagalkannya.
Di dunia Arab, tanggungjawab untuk setiap kegagalan diletakkan kepada tentera yang dikatakan ketiadaan model dan hilangnya peranan masyarakat Arab dalam memilih pemimpin.
Beberapa negara di dunia berada dalam keadaan lemah. Walaupun telah mengangkat slogan keamanan selama beberapa dekad, tetapi keamanan ini semakin merosot dan hilang kerana tiadanya keadilan, kurangnya kebebasan, pelanggaran hak dan cara kepemimpinan yang tidak berwibawa.
Isu ini mendapat perhatian mantan pengarah urusan Khazanah Nasional Berhad, Azman Mokhtar dalam Bicara Bina Negara bertajuk “Kemakmuran melalui kepimpinan” pada 20 Disember lalu.
Katanya, kepemimpinan sepatutnya menerapkan nilai-nilai yang sewajarnya diguna pakai terutamanya dalam kerajaan dan pentadbiran yang diterajui.
Beliau juga berkata nilai keadilan sering terlihat dalam dimensi politik. Keadilan yang sebenar pada dasarnya adalah kebebasan politik sebelum diterapkan kepada kebebasan peribadi.
Oleh itu, krisis kepemimpinan akan berada di tahap lemah dan paling berbahaya jika tidak diterapkan nilai kepemimpinan yang berwibawa serta berintegriti dan kompeten.
Pengurusan negara memerlukan kebolehan mewujudkan visi dan keprihatinan bagi pemimpin dan mampu untuk menyerap sejarah untuk persiapan masa depan.
Presiden Amerika Syarikat yang ke-28 Thomas Woodrow Wilson pernah berkata, “Anda tidak berada di sini untuk mencari keuntungan, sebaliknya berada di sini untuk membolehkan dunia hidup dengan lebih makmur, dengan visi yang lebih besar dan semangat harapan dan pencapaian yang lebih baik.
“Anda berada di sini untuk memperkayakan dunia dan anda memiskinkan diri sendiri jika melupakan tugas itu.”
Apakah bentuk kepemimpinan yang diperlukan dunia dalam era kini?
Dalam era perubahan getir ini, para pemimpin harus menguatkan institusi yang diuruskan dan untuk menghadapi masa-masa sukar yang tidak pernah dilalui.
Dalam konteks ini, cabaran paling sukar dihadapi sekarang adalah menyesuaikan diri dengan dasar, proses, undang-undang, perkhidmatan serta keadaan mereka untuk mengikuti trend dan faktor luaran yang terus berubah.
Oleh itu, masyarakat perlu belajar membezakan antara cabaran yang memerlukan kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan pemboleh ubah dan kemampuan untuk menangani masalah teknikal yang penting dalam menghadapi perubahan radikal dan menangani tekanan luaran.
Mengatasi cabaran ketahanan memerlukan kepemimpinan yang menggunakan kekuatan idea, merangsang penerokaan, memikirkan alternatif bagi beberapa perkara, memupuk inovasi dan membangunkan kecekapan baru untuk merealisasikan kemakmuran negara.
Pada zaman ini, inovasi bidang politik, ekonomi dan sosial berkembang pesat seiring dengan perkembangan sains dan teknologi untuk mengubah wajah dunia dan persada antarabangsa sepenuhnya.
Mantan naib presiden Amerika Syarikat, Al Gore pernah berkata tidak ada masa sejarah sebelumnya yang sama, bahkan dari jauh, apa yang akan dialami manusia dalam waktu terdekat.
Memang benar bahawa kita telah menyaksikan masa perubahan, revolusi sebelumnya.
Kepemimpinan berwibawa
Kepemimpinan yang berwibawa perlu memiliki dua kemahiran khusus iaitu kemampuan untuk menghadapi perubahan dan berdepan kenyataan serta berani untuk memikul tanggungjawab untuk mencipta masa depan yang lebih sejahtera.
Memiliki kedua-dua kemahiran tersebut sangat penting untuk kelangsungan hidup dan keharmonian dunia. Keluarga, organisasi, masyarakat dan negara perlu berjaya memperkukuhkan kemampuan dan fleksibel untuk menghadapi cabaran serta merebut peluang yang muncul.
Bagi yang bercita-cita untuk memimpin dalam realiti baru ini, mereka seharusnya mempunyai keberanian untuk mencipta masa depan dengan memimpin perubahan itu sendiri, bukannya berusaha mengelak daripadanya.
Memupuk dua kemahiran asas ini memerlukan kepemimpinan atau paling tidak menonjolkan beberapa tingkah laku kepemimpinan tertentu.
Pertama sekali, pemimpin harus membantu organisasi dan komuniti mereka mengenal pasti cabaran yang mereka perlu hadapi untuk menyesuaikan diri dan membezakan cabaran ini dengan masalah teknikal.
Alasan yang biasa didengar apabila gagal menjalankan tanggungjawab kepemimpinan adalah bahawa seseorang itu telah berusaha menangani cabaran yang memerlukan penyesuaian disebabkan terdapat masalah teknikal.
Tidak hairanlah hari ini kita melihat lebih banyak amalan pengurusan harian daripada amalan kepemimpinan dalam sesebuah organisasi dan masyarakat.
Jadi apakah perbezaan antara menghadapi cabaran adaptif dan masalah teknikal?
Cabaran adaptif ini dapat ditangani dengan membawa perubahan hati, adat, kepercayaan, keutamaan dan kesungguhan seseorang.
Memenuhi cabaran adaptif berkaitan ketahanan memerlukan rangsangan eksplorasi, menanggung kerugian, memupuk inovasi dan membangunkan kecekapan baru yang memungkinkan kemajuan serta kemakmuran.
Namun, sangat sukar untuk membezakan masalah teknikal dengan masalah adaptif.
Ini tidak hanya terbeban kepada seseorang yang berada dalam kedudukan kepemimpinan, sebaliknya sebilangan besar masalah bercampur dengan elemen teknikal dan adaptif saling berkaitan antara satu sama lain.
Oleh itu, pembaziran sumber organisasi yang terbesar berlaku ketika mereka yang berjawatan menganggap cabaran adaptif sebagai masalah teknikal dan percaya mereka melaksanakan penyelesaian yang mudah.
Sekiranya seseorang itu ingin mencapai hasil yang berbeza, mereka harus mengikuti kaedah yang berbeza dan mencuba amalan baru untuk menyelesaikan tugas.
Apa yang menjadikan proses penyesuaian diri begitu sukar sehingga ramai yang menjauhinya? Inisiatif kepemimpinan kurang berjaya kerana kegagalan mereka menghadapi cabaran.
Biasanya setiap orang dapat mengira keuntungan dan kerugian inisiatif perubahan dengan baik.
Oleh itu, kita menyedari apa yang ditentang orang bukanlah perubahan itu sendiri, melainkan mereka membenci dan menentang kerugian.
Ahli ekonomi terkenal Dr Umar Chapra merumuskan lapan pandangan antaranya kekuatan seorang pemerintah bergantung kepada daya upayanya melaksanakan syariah. Syariah yang dimaksudkan adalah the rule of law.
Bagaimanapun, tugas kepemimpinan yang sebenar menjadi lebih mencabar apabila terdapat konflik antara perkara yang betul untuk dilakukan dan apa yang mereka harapkan daripada seseorang yang memberi kuasa tersebut.
Mempraktikkan kepemimpinan dalam menghadapi cabaran adaptif mengharuskan seseorang itu mencabar harapan orang lain, terutama harapan orang yang disayangi, serta memacu perubahan yang sesuai untuk mereka memahami dan bertolak ansur dengan perubahan.
Kepemimpinan dan kuasa
Contoh mengenai perbezaan antara pelaksanaan kepemimpinan dan pelaksanaan kuasa dapat dilihat dalam kepimpinan pengasas dan presiden pertama Emiriah Arab Bersatu (UAE) moden, Sheikh Zayed Al Nahyan dan Sheikh Rashid Al Maktoum yang mengambil alih jawatan naib presiden UAE dan pemerintah Dubai.
Mereka berusaha untuk mewujudkan persekutuan wilayah paling berjaya yang telah disaksikan oleh dunia Arab kerana menyatukan tujuh emirat (wilayah pemerintahan) yang berbeza dalam satu negara pada tahun 1971.
Sebelum tarikh itu, Sheikh Zayed tidak memiliki autoriti rasmi ke atas emirat lain selain emiratnya, Abu Dhabi.
Beliau percaya bahawa cabaran terbesar dihadapi adalah pembahagiannya menjadi beberapa emirat kecil.
Selain itu, beliau percaya bahawa jika emiratnya dapat bersatu secara sukarela tanpa dipaksa di bawah satu negara dan satu bendera, maka negaranya akan dapat maju bersama dan mencapai kejayaan terbesar.
Namun, tugasnya tidak mudah kerana Sheikh Zayed melakukan yang terbaik selama bertahun-tahun untuk meyakinkan pemerintah emirat lain tentang impiannya yang kemudian direalisasikan.
Wajar bagi masyarakat emirat untuk mengharapkan beliau fokus sepenuhnya untuk meningkatkan kesejahteraan secara khusus, tetapi beliau tetap mencabar harapan mereka dan menggerakkan usaha untuk membantunya merealisasikan penyatuan itu.
Ini sama sekali bukan mudah kerana mendorong perubahan adaptif adalah perkara yang sukar.
Usaha penyatuan telah melalui banyak halangan, tetapi mereka menyedari bahawa jika mereka dapat melakukannya, mereka akan mencapai kejayaan yang tiada tandingannya.
Realitinya, setiap kegagalan adalah sumber pelajaran yang memberikan seseorang itu pakej kemahiran dan wawasan baru seterusnya membolehkan mereka mengikuti perubahan dalam kehidupan seharian kita sekarang.
Kita berada pada titik tajam yang menentukan sejarah manusia kerana masing-masing mempunyai peluang dan kemampuan untuk membentuk masa depan.
Lebih daripada itu, dunia memerlukan pemimpin berwibawa yang mempunyai matlamat jelas untuk memikul amanah untuk membantu masyarakat dan negara mengatasi cabaran paling sukar dihadapi ketika menyesuaikan diri dengan situasi baru ini.
ATRIZA UMAR berkhidmat dengan Jabatan Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan Ikram Malaysia.
ASB beri wang ihsan 0.75 peratus untuk 30 ribu pertama sahaja, Zeti wajar letak jawatan
You must be logged in to post a comment.