‘Rakyat di DUN pembangkang dapat manfaat dari Langkah Perak’
Rakyat Perak, terutama di DUN pembangkang, akan melihat manfaat daripada langkah Pakatan Harapan (PH) negeri itu menyokong usaha Umno meminggirkan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar, kata Ketua Pemuda DAP Howard Lee.
Jelas Lee, dia maklum ramai yang meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka terhadap PH Perak kerana menyangka diperkudakan oleh Umno.
“Kami mengakui bahawa dari luar, PH nampaknya rugi dan tertewas. Tetapi kami reda kerana rakyatlah yang menang sebenarnya, khususnya majoriti mereka yang diami di kawasan-kawasan DUN pembangkang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Lee berkata, buat pertama kali dalam sejarah Perak, semua kawasan DUN mendapat peruntukan adil dan saksama tanpa mengira penyokong kerajaan ataupun pembangkang.
“Peruntukan ini hanya boleh digunakan untuk rakyat kawasan DUN masing-masing bagi program-program rakyat, dan bukan untuk poket wakil rakyat,” katanya.
Tambahnya, kesemua 59 Adun Perak daripada semua parti akan menduduki Jawatankuasa Tindakan Daerah, yang merupakan jawatankuasa paling berimpak tinggi dan berkuasa dalam perihal penyelesaian permasalahan setempat.
Selain itu, kata Lee, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk meminda perintah tetap Dewan Undangan Negeri bagi tujuan membolehkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira wang Negeri dilantik dari kalangan Adun Pembangkang selain mengiktiraf secara rasmi jawatan ketua pembangkang negeri.
“Rakyat Negeri Perak bakal menyaksikan segenap wakil rakyat negeri berfungsi secara lebih effisyen menghadapi serta menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Ia juga akan membuka ruang untuk perubahan dan evolusi kepada badan politik negeri secara amnya. Dengan penggemblengan dan penglibatan yang lebih luas oleh semua Adun, besar kebarangkalian akan tergubal dan rungkainya dasar-dasar yang lebih progresif dan menguntungkan rakyat Perak,” katanya.
Adun Pasir Pinji itu turut menyeru penyokong PH tidak bimbang dan memberi jaminan mereka akan terus memegang prinsip, kejujuran dan amanah.
Pada 4 Disember, Lee menyokong usul keyakinan yang dibawa oleh seorang Adun Umno terhadap kepemimpinan Faizal.
Usul itu menyaksikan Faizal digulingkan sebagai menteri besar, dan mencetuskan percubaan untuk membentuk kerajaan gabungan Umno-PH.
Namun rundingan itu gagal.