Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Tan Sri Mohamad Aziz meninggal dunia

Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Tan Sri Mohamad Aziz meninggal dunia pada usia 80 tahun di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, Johor, malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat, menerusi Facebook miliknya, hari ini.

“Bekas Speaker DUN Johor, Tan Sri Mohamad Aziz baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

“Selepas pelantikan saya sebagai Speaker DUN Johor pada 2018, saya sempat ziarah Allahyarham di Sri Gading.

“Banyak nasihat berguna yang beliau berikan pada saya. Moga rohnya ditempatkan bersama orang yang soleh,” katanya.

Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Sri Gading meninggal dunia pada jam 9.50 malam akibat sakit buah pinggang.

Jenazah akan dimandikan di hospital sebelum dibawa ke rumah di Nong Chik, Johor Bahru.

Jenazah dijadualkan akan dikebumikan pada jam 9:30 pagi Jumaat.

Allahyarham yang menjadi Ahli Parlimen Sri Gading selama tiga penggal bermula 1999 hingga 2013 adalah bekas Timbalan Pengerusi Tetap UMNO.

Allahyarham yang juga anak jati Batu Pahat juga pernah menyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani juga tiga penggal bermula 1986 hingga 1999.

Sebelum bergelar wakil rakyat sebagai ADUN dan Juga Ahli Parlimen beliau berkhidmat sebagai Pegawai Seranta di Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah pada tahun 1982 hingga 1986.

Sebelum itu beliau adalah wakil peribadi Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn yang juga Ahli Parlimen Sri Gading sejak 1974 hingga 1982. BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker