Pekebun haram durian: Satu kemenangan besar – MB Pahang
MENTERI Besar Pahang Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 204 pekebun haram durian Musang King di Raub sebagai satu kemenangan besar kepada anak-anak Pahang.
Wan Rosdy menegaskan, Kerajaan Negeri Pahang akan terus mempertahankan tanah di negeri itu daripada diceroboh oleh golongan yang tamak dan mementingkan diri sendiri.
“Ini merupakan satu kemenangan yang besar untuk seluruh anak-anak Negeri Pahang Darul Makmur.
“Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur akan sentiasa komited dalam memelihara dan mempertahankan tanah di Negeri Pahang supaya tidak disalahgunakan oleh golongan penceroboh yang tamak dan mementingkan diri sendiri,” kata Wan Rosdy dalam satu kenyataan.
Jelas Was Rosdy, Kerajaan Negeri akan menggiatkan usaha penguatkuasaan bagi memastikan hak anak-anak negeri itu akan terus dijaga.
Menurut beliau, sebelum ini tindakan tegas terhadap pencerobohan tanah telah berjaya dilaksanakan di Sungai Ichat dan Lembah Bertam di Cameron Highlands.
Semalam, Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan kumpulan pekebun haram terbabit bagi semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan negeri.
Menurut Zainal Azam notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.
Hakim tersebut juga berkata, sebagai pihak yang menceroboh, pekebun terbabit tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.
Pekebun terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.
Sebanyak 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos lepas manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 September dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.
Para pekebum terbabit mendakwa ada dalam kalangan mereka (pekebun) mengusahakan dusun durian sejak 1961.
Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.
Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.-SM
MB: Pahang tangguh perintah kosong tanah pada petani durian