Apabila kereta dijadikan rumah, dan mandi di tandas awam – kisah pilu lima sekeluarga di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Berbumbungkan kereta sebagai rumah, lima sekeluarga juga terpaksa menumpang mandi di tandas awam dan mengalas perut dengan roti kosong pemberian orang awam.

Demikian derita pengawal keselamatan Ganesh Soundarajah bersama isteri dan tiga anak perempuan mereka yang menganggap kereta usangnya sebagai ‘rumahku syurgaku’ sejak beberapa bulan lalu.

‘Kediaman’ mereka berhampiran padang di Sepoy Lines Road.

Kereta yang sudah berusia 30 tahun itu turut menjadi ‘rumah’ buat anak bongsu Ganesh berusia lapan bulan.



Setelah kediaman mereka dijilat api April lalu, Ganesh dan keluarganya terpaksa menggunakan kereta sebagai ‘rumah’ baharu.

Kemiskinan mereka lebih menyayat hati, kerana Ganesh and isteri menggunakan air tandas awam untuk membancuh kopi panas buat penawar dahaga.

Ganesh, 33, bersama keluarga kecilnya itu, tidak mempunyai pilihan selain tinggal di dalam kereta mereka kerana tidak mampu membayar deposit untuk sebuah bilik atau rumah.

Di George Town, deposit sedemikian boleh mencecah antara RM800 hingga RM900.



Ganesh meraih hanya RM1,200 sebagai pengawal keselamatan syif malam di sebuah sekolah berdekatan. Justeru keperluan menjadikan keretanya sebagai rumah.

Beliau akan memparkir kereta itu di lokasi berhampiran tandas awam sekitar Gurney Drive, Padang Polo, dan Esplanade.

Pada waktu malam, kereta itu diparkir di luar sekolah tempat dia bekerja kerana mahu mengawasi keluarganya.

Isterinya Parameswari, 32, hanya mampu menyuap anak-anak dengan kopi hitam tetapi ada kalanya menganggap diri sekeluarga “bernasib baik” apabila orang awam mendermakan roti kosong untuk dicicah dalam kopi atau air suam.



Pada hari-hari yang ‘lebih baik’, Ganesh memasak nasi dengan sedikit garam sebagai perasa atau mee segera untuk ‘santapan’ keluarga.

Aktivit mencuci pakaian dan mandi juga di tandas awam dan pakaian pula dijemur pada tiang yang ada pada kaki lima.

Kata Ganesh, beliau sekeluarga pernah menyewa ruang kosong berhampiran pasar Campbell Street di sini ketika dia bekerja sebagai pemandu lori, dan meraih upah sebanyak RM1,700 sebulan.


Ganesh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam, bersama isteri dan anaknya tinggal di dalam kereta tidak jauh dari tempat bertugas.



Bagaimanapun, tahun lalu Ganesh terlibat dalam kemalangan, yang menyebabkan dia tidak boleh memandu lori lagi atau mengangkat barang-barang berat.

Justeru beliau sekarang bekerja sebagai pengawal di sebuah sekolah.

Ganesh sudah memohon kepada Jabatan Perumahan Pulau Pinang untuk flat sewa, RM90 sebulan. Walau bagaimanapun, sehingga ini tiada tanda permohonan itu diluluskan.

Ganesh tidak kelihatan optimis untuk memperolehi rumah sewa kerajaan negeri.



“Bila rumah kami terbakar, banyak yang datang beri bantuan makanan dan mengambil gambar, Lepas itu, semua menghilang. Yang kami mahukan hanyalah rumah. Ada tak yang boleh tolong?” dia merayu.

Ganesh juga sudah sekian lama mengharapkan ada insan berhati mulia membantunya memulakan perniagaan kecil kedai runcit, mengangkut sayur-sayuran dan hasil-hasil lain seperti zamannya bekerja sebagai pemandu lori.

Anak-anak Ganesh, Girthikanesh, 6, Devi Shri, 3, dilihat langsung tidak tahu akan penderitaan mereka sekeluarga, malah dilihat tersenyum gembira.

Anak perempuan bongsunya, Kirthana Devi, berusia lapan bulan, menangis, berjumpa dengan media. Menurut ibunya, bayi itu tidak biasa dengan orang luar kerana tinggal dalam kereta sejak dilahirkan.



“Saya sangat gembira melihat anak-anak dapat makan. Saya hanya mampu menangis apabila anak-anak beritahu yang saya lapar dan saya tak dapat beri apa-apa,” kata Ganesh. FMT

Lawak Giler: Ayah Ajar Anak Mandi ‘Cara Orang Selangor’ Ini Undang Ketawa Ramai Netizen [ VIDEO ]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker