(Video)Polis trafik mabuk, pandu lawan arus ditahan
JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis trafik ditahan kerana memandu secara berbahaya dengan melawan arus selain disyaki berada bawah pengaruh alkohol dalam kejadian 12.30 tengah malam tadi.
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya menerima rakaman video berkaitan sebuah kereta yang dipandu menyongsang arus di Jalan Lingkaran Dalam.
Atas makluman sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Bahru Selatan, polis menahan pemandu berkenaan yang merupakan seorang anggota berumur 25 tahun di sebuah stesen minyak.
“Siasatan kita mendapati anggota polis terbabit yang dipercayai bawah pengaruh alkohol tidak bertugas ketika kejadian dan menggunakan kenderaan persendirian.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak lebih daripada RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih lima tahun,” katanya.
Ayob berkata bagi kesalahan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula, pesalah boleh didenda tidak lebih RM30,000 dan dipenjara dua tahun serta hilang kelayakan memandu tidak kurang dua tahun jika sabit kesalahan.
Jelasnya lagi, polis juga akan memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan suspek akan dituduh di mahkamah.
“Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pegawai dan anggotanya yang melanggar undang-undang,” kata Ayob.
Bernama
Anggota polis trafik tendang penunggang motosikal, tindakan akan diambil