KJ perjelas kenapa vaksin lambat 2 bulan berbanding S’pura

Sesetengah pihak membangkitkan persoalan Singapura sudah menerima kumpulan pertama vaksin koronavirus daripada Pfizer-BioNTech semalam manakala negara hanya akan menerima vaksin seawal Februari 2021.

Pada sidang media hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menjelaskan Malaysia terlambat dua bulan kerana Singapura, seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah adalah negara kaya.

Jelas Khairy lagi, Singapura juga menandatangani perjanjian dengan Pfizer beberapa bulan lebih awal dari Malaysia.



“Ya, sudah tentu Singapura telah menerima vaksinnya.

“Tetapi Singapura punya kemampuan kewangan berbeza daripada kita dan jumlah yang mereka beli pun tak sebesar kita.

“Kami perlu beli dari banyak tempat,” katanya.

“Negara-negara maju, kaya, AS, EU, Kanada, Singapura banyak duit dah beli lebih awal dari kita, kerana mereka boleh tawarkan harga lebih (tinggi) dan mereka boleh keputusan itu kerana belanjawan mereka lebih besar dari kita,” katanya lagi.



Mengenai Indonesia yang menerima bekalan pertama vaksin Covid-19 awal bulan ini, Khairy berkata hal itu kerana Indonesia terlibat dalam ujian klinikal pengeluar vaksin China, Sinovac.

“Sebab Indonesia adalah tempat yang laksanakan ujian klinikal bagi Sinovac, sebab itu mereka dapat (vaksin itu) dan belum dapat kelulusan daripada badan kawal selia farmasi Indonesia, masih dalam gedung,” jelasnya.

Menurut Khairy, mengambil kira kedudukan sumber kewangan negara, kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk mendapatkan bekalan vaksin terhadap 82.8 peratus penduduknya.

“Kita bukan yang paling pantas, tetapi bukan yang paling lambat juga dan kita selalu utamakan keselamatan, keberkesanan… dan kos berpatutan,” katanya.



Semalam, Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang membidas kelembapan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan vaksin Covid-19 untuk rakyat negara ini.

Katanya, Singapura minggu lalu melaporkan telah menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer Covid-19 sementara Muhyiddin hari ini baru mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin.



Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker