Hadkan umur ahli Parlimen tidak lebih 75 tahun

Kerajaan disaran menggariskan had umur Perdana Menteri dan ahli Parlimen agar kestabilan politik Malaysia lebih terjamin.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, beliau mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan mengambil contoh Perlembagaan Iran yang mewajibkan calon ahli Parlimen tidak melebihi umur 75 tahun.

Menurutnya, Perlembagaan Uganda pula mewajibkan setiap calon Presiden mestilah tidak melebihi umur 75 tahun.

“Adalah ideal Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mewajibkan setiap calon ahli Parlimen di negara ini tidak melebihi umur 75 tahun atau sekurang-kurangnya mewajibkan Perdana Menteri yang bakal dilantik mengetuai kerajaan tidak melebihi 75 tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Kamarul Zaman berkata, sekiranya Iran dan Uganda mengakui umur 75 tahun adalah umur maksimum seseorang menjadi ahli Parlimen atau memerintah negara, mengapa Malaysia tidak melihat ia dari aspek positif.

“Umum mengetahui mereka yang berusia melebihi 75 tahun sering mengalami masalah kesihatan, masalah fizikal mahupun mental di mana pakar kesihatan dan psikologi membuktikan kebolehan kognitif seperti pentaakulan konsep, ingatan dan kelajuan memproses maklumat makin menurun dengan drastik,” katanya.

Menurutnya, ketidakseimbangan dalam pemikiran dan melakukan keputusan tidak tepat berhubung isu negara boleh menjejaskan kestabilan politik dan negara.

Sebagai contoh, katanya, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sewajarnya sudah bersara daripada dunia politik kerana masing-masing sudah berusia 95 dan 83 tahun.

“Berdasarkan sidang media bersama Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh pada 14 Disember lalu, jelas menunjukkan sudah tiba masanya kedua-dua pemimpin veteran itu bersara daripada dunia politik.

“Ini kerana tawaran mereka kepada rakyat untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam undian Belanjawan 2021 lalu tidak menjadi. Bacaan politik dan keyakinan mereka jelas tersasar jauh daripada realiti.

“Bacaan Dr Mahathir bahawa kerajaan akan kalah dalam undian Bajet 2021 yang akan menumbangkan kerajaan tidak menjadi kenyataan. Bacaan Tengku Razaleigh selaku Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO mampu mempengaruhi ahli-ahli Parlimen UMNO juga tidak berhasil,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, tindakan kedua-dua pemimpin itu boleh mengancam kestabilan politik negara dan mereka lebih sesuai dilantik sebagai penasihat kepada mana-mana parti politik sahaja.

“Mereka tidak perlu lagi mempunyai sebarang jawatan legislatif seperti ahli Parlimen atau masih bercita-cita memegang jawatan eksekutif seperti Menteri atau Perdana Menteri. Ini bagi memastikan mereka memainkan peranan lebih baik dan sesuai dengan pengalaman yang dimiliki.

“Sekiranya masih mempunyai jawatan legislatif atau bercita-cita memegang jawatan eksekutif, mereka dilihat masih ada kepentingan peribadi yang tidak membolehkan mereka menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Beliau juga percaya pakatan politik baharu yang diketuai tokoh-tokoh berusia lanjut seperti Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh tidak akan mendapat sokongan daripada rakyat. Sinar

https://mykmu.net/2018/02/06/2-tahun-je-mana-cukup-8-tahun-la-genap-umur-100-tahun-terus/

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker