Vaksin COVID-19: Kerajaan tandatangan perjanjian dengan AstraZeneca

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperolehi sebanyak 6.4 juta dos vaksin COVID-19.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara.

Ia merupakan perjanjian ketiga selepas kerajaan memeterai perjanjian dengan COVAX bagi pembelian 10 peratus vaksin dan syarikat Pfizer bagi 20 peratus pembelian sama, akhir bulan lepas.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 6.4 juta dos vaksin COVID-19 tersebut bakal memenuhi keperluan imunisasi 10 peratus lagi rakyat Malaysia.

“Ini bermakna jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus telah pun diperolehi menerusi perjanjian bersama fasiliti COVAX, syarikat Pfizer dan syarikat AstraZeneca.

“Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya.

Menurutnya dalam satu perutusan khas secara maya hari ini, melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai buat masa ini, kerajaan akan membelanjakan AS$504.4 juta (RM2.05 bilion).

“Jumlah 80 peratus ini adalah melebihi sasaran awal kita, iaitu untuk memberikan vaksin kepada 70 peratus rakyat Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata, perjanjian dengan Sinovac, CanSino serta Gamaleya itu juga akan memberi nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat dan pembangunan negara.

“Ia termasuk melakukan proses pembotolan vaksin di dalam negara, penyelidikan dan pembangunan, serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi.”

Dalam pada itu katanya, kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal yang lain bagi memastikan Malaysia mempunyai jaminan akses bekalan vaksin percuma yang mencukupi.

Ujarnya, vaksin yang diperolehi ini akan dipastikan selamat dan berkesan.

Exclusive: AstraZeneca U.S. COVID-19 vaccine trial may resume as soon as this week – sources

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker