Pemilik kereta mewah, berpendapatan tinggi antara menduduki unit perumahan DBKL untuk warga miskin

Duduk di unit kos rendah milik kerajaan tetapi memandu kereta mewah dan berpendapatan tinggi.

Begitulah gaya hidup dalam kalangan 20% penghuni Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur yang hilang kelayakan menduduki perumahan itu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Santhara Kumar berkata, dapatan awal itu diperoleh menerusi bancian dan audit dilakukan DBKL dari semasa ke semasa.

“Kriteria utama hilang kelayakan ini ialah apabila penghuni PA/PPR ini mempunyai rumah lain, selain berpendapatan melebihi kemampuan sehingga mampu membeli kereta mewah,” katanya selepas menyerahkan 20 surat tawaran menduduki unit PA/PPR DBKL.



Beliau berkata, buat masa ini tiada tindakan diambil terhadap penghuni terlibat disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Lazimnya, mereka yang hilang kelayakan menduduki diberi tempoh hingga dua bulan untuk mengosongkan unit masing-masing, katanya.

“Bagaimanapun,sekiranya penghuni berpendapatan tinggi tetapi mempunyai tanggungan ramai, DBKL tetap bertimbang rasa untuk membenarkan mereka terus mendiami unit di situ,” katanya.

Beliau berkata, penghuni yang hilang kelayakan dan tidak mempunyai alasan kukuh seharusnya memberi peluang kepada yang lebih memerlukan untuk mendiami unit terbabit.



Dalam pada itu, Santhara berkata setakat ini DBKL meluluskan 2,000 daripada kira-kira 30,000 permohonan untuk menyewa unit PA/PPR, namun mereka masih belum dapat mendiami unit terbabit disebabkan tiada kekosongan.

Sementara itu, Mohd Feissal Mohd Yusoff, 28, yang terpilih mendiami PA/PPR DBKL berkata dia terharu selepas mengetahui permohonannya diluluskan.

“Sebelum ini, saya pernah menyewa rumah di Setapak, namun diusir keluar dan kesukaran mendapatkan rumah sewa dengan kadar sewa berpatutan menyebabkan saya terpaksa tinggal dengan ibu mentua di Bentong, Pahang dan berulang-alik ke tempat kerja di sini.

“Perjalanan yang jauh itu juga menyebabkan saya sering diberi surat amaran kerana lambat datang kerja selain pernah mengalami kemalangan sehingga mendapat lima jahitan,” katanya yang menerima unit rumah di PA Desa Sri Rejang, Setapak.



Turut berkongsi kegembiraan ibu tunggal, R Uma, 47, yang terpaksa menunggu lebih 12 tahun untuk mendiami PA/PPR selepas permohonan kali pertama ditolak.

“Saya kemudian membuat rayuan dari 2012 dan bersabar menunggu kekosongan. Bila dapat berita ini (dapat rumah), anak-anak pun tumpang gembira sekali,” katanya yang selama ini menumpang di rumah ibunya di Cheras. Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker