Kos vaksin dibayar Malaysia: Lim buat perbandingan salah, kata Khairy

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyangkal kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berhubung perbandingan kos vaksin Pfizer yang perlu dibayar negara.

Menjelaskan persoalan pemimpin veteran DAP hari ini, Khairy berkata peruntukan RM3 bilion yang disediakan kerajaan untuk mendapatkan vaksin itu adalah untuk kira-kira 70 peratus warga Malaysia.

“RM3 bilion merupakan anggaran keseluruhan kami untuk dapatkan bekalan sekurang-kurangnya untuk 70 peratus daripada penduduk. Kenyataan anda adalah tidak tepat,” ciapnya di Twitter hari ini.

Terdahulu, Lim mempersoal mengapa kerajaan memerlukan RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin untuk 6.4 juta rakyat Malaysia.

Dia membuat perbandingan dengan pendedahan menteri dari Belgium bahawa harga vaksin tersebut 20 kali ganda lebih murah daripada harga sebenar.

“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, khususnya, harus menjelaskan mengapa Malaysia perlu membayar RM3 bilion untuk menyediakan vaksin kepada 6.4 juta rakyat Malaysia sedangkan menteri Belgium mendedahkan bahawa harga vaksin tersebut sebenarnya 20 kali ganda lebih murah.

“Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertindak berdasarkan maklumat yang didedahkan menteri Belgium ini untuk memastikan bahawa tidak terdapat unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam usaha memerangi Covid-19?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, agensi berita Reuters melaporkan syarikat farmaseutikal dari Amerika Syarikat, Pfizer mengadu pelanggaran kerahsiaan selepas seorang ahli politik di Belgium yang mendedahkan harga setiap dos vaksin Covid-19 yang ditempah oleh negara tersebut.

Menurut laporan itu, Setiausaha Negara Belgium Eva De Bleeker mendedahkan jadual yang menunjukkan Belgium membayar 12 euros (RM60) bagi setiap dos untuk mendapatkan kira-kira lima juta suntikan vaksin Pfizer/BioNTech.

Sumber juga memberitahu Reuters yang Kesatuan Eropah (EU) setuju untuk membayar 15.50 euros (RM76.8) untuk setiap dos vaksin itu.

Malaysia merupakan antara negara yang mendapatkan bekalan vaksin daripada Pfizer.

Dengan mengambil kira populasi penduduk Malaysia iaitu seramai 31 juta orang, peruntukan RM3 bilion untuk 70 peratus warga bermakna RM142 dibelanjakan bagi setiap individu.

Pada 24 Nov lepas, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Pada 4 Nov lalu pula, Khairy berkata kementeriannya menganggarkan keperluan RM3 bilion pada tahun hadapan untuk bekalan vaksin Covid-19 bagi sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat Malaysia.

Berhubung vaksin untuk 20 juta lagi penduduk, Khairy sebelum ini berkata rundingan dengan sejumlah pengeluar vaksin masih berjalan.

“Tiada tarikh akhir. (Rundingan) sedang berjalan. Permintaan tinggi, bekalan pula terhad. Negara kaya memiliki banyak wang dan membeli (vaksin) dengan banyak. Saya berpuas hati dengan kedudukan Malaysia (dalam hal ini),” ciapnya di Twitter hari ini. Mk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker