Paderi Cabul OKU, Polis Terima 6 Laporan



Sebaran :

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima enam laporan melibatkan seorang paderi warga Korea yang didakwa mencabul lima lelaki orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, bulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lima kertas siasatan dibuka di Pulau Pinang manakala satu di Selangor berhubung penglibatan suspek lelaki itu dalam kejadian cabul, yang didakwa berlaku antara 2011 dan 2016.

Beliau berkata, suspek berumur 54 tahun itu kini direman enam hari sejak 13 Disember bersabit laporan polis di Petaling Jaya, Selangor untuk siasatan lanjut.



Dalam satu kenyataan di sini malam tadi, beliau berkata, suspek sebelum ini direman dari 24 hingga 30 November lepas susulan laporan dibuat OKU berumur antara 27 dan 40 tahun, yang lambat membuat laporan berhubung kejadian menimpa mereka.

Pada 24 November lepas, Bernama melaporkan polis menahan seorang paderi warga Korea bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul membabitkan beberapa mangsa lelaki OKU di Pulau Pinang.

Suspek yang juga seorang OKU ditahan di sebuah gereja di Pulau Pinang pada jam 8.30 malam, 23 November lepas susulan laporan polis diterima termasuk daripada beberapa mangsa di daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. – Bernama




Sebaran :


Leave a Reply