MARA, Shopee jalin kerjasama pasaran produk usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan platform e-dagang Shopee Malaysia dalam usaha untuk memperluas dan memperkasa pemasaran produk usahawan Bumiputera dalam talian.

Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata kerjasama yang bermula sejak awal bulan lalu itu setakat ini telah menarik penyertaan 280 usahawan yang memasarkan lebih 20,000 produk dengan nilai jualan RM200,000.

“Sasaran awal adalah 5,000 produk saja dalam tempoh dua bulan ini (November dan Disember) dengan jangkaan peningkatan pendapatan sehingga 20 peratus. Namun, sambutan diterima amat menggalakkan dan melebihi sasaran,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian MoU itu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, MARA diwakili Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan Datuk Zulfikri Osman, manakala Shopee diwakili ketua pemasarannya Tan Ming Kit.

Azizah berkata, selain bantuan geran pembangunan serta kemudahan pembiayaan yang disediakan MARA, usahawan juga akan diberi latihan pemasaran oleh kedua-dua pihak.

Sementara itu, Tan berkata, Shopee menyasarkan untuk menarik seramai 210 lagi usahawan Bumiputera menjelang suku pertama tahun depan untuk membantu mereka menjangkau pelanggan di seluruh negara.

“Menerusi kerjasama strategik ini, kami yakin dapat terus menyokong PKS dan mikro tempatan dalam usaha mempercepatkan perjalanan transformasi digital secara bersama bagi mengembangkan perniagaan,” katanya. — Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker