Semua ADUN Perak terima peruntukan RM200,000



Sebaran :

Semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak akan menerima peruntukan tahunan RM200,000 mulai tahun depan membabitkan jumlah keseluruhan RM11.8 juta selaras titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada istiadat pelantikan menteri besar Khamis lalu.

Menteri Besar Saarani Mohamad berkata, Sultan Perak mahu kerajaan negeri merintis jalan mengurangkan ketegangan dan perbalahan politik kerana ia akan “memangsakan” rakyat.

“Sesungguhnya, keprihatinan Tuanku terhadap untung nasib rakyat, menjadi ibrah dan panduan kepada saya serta seluruh lapisan pentadbiran untuk memastikan kerajaan yang ada hari ini sentiasa menegakkan prinsip keadilan, membina kerukunan serta berusaha sedaya mungkin memenuhi keperluan ekonomi dan sosial rakyat.



“Selain itu, kerajaan juga bersetuju supaya semua ADUN hendaklah dijemput hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Semoga dengan ketetapan ini, adalah diharapkan semua Ahli Yang Berhormat dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan kepada pengundi di kawasan masing-masing,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2021 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Saarani membentangkan belanjawan defisit RM154 juta, iaitu tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri dengan unjuran melibatkan hasil terimaan pembangunan sebanyak RM1.061 bilion berbanding perbelanjaan sebanyak RM1.215 bilion.



Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan meneruskan semua agenda pembangunan mengikut perancangan sudah dibuat sebelum ini dengan fokus menjana pertumbuhan ekonomi seimbang, keadilan sosial serta menjaga kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan turut menghargai sumbangan dan komitmen kakitangan awam negeri dengan memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji kepada semua penjawat awam negeri yang akan dibayar akhir bulan ini.

“Pembayaran sebanyak RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua guru sandaran tidak terlatih (GSTT), guru i’dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, tok batin, dan pekerja sambilan harian,” katanya. FMT



Sokongan sebulat suara DUN Perak kepada Saarani sebagai Menteri Besar


Sebaran :


Leave a Reply