MB: Proses namakan stadium mini ‘Ffira Mikah’ tak ikut prosedur

Proses menamakan stadium mini di Kuala Nerang dekat Padang Terap yang tular sehingga menimbulkan kontroversi baru-baru ini tidak dibuat mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata perkara itu didapati hanya dibincangkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak dibawa untuk tindakan dalam Mesyuarat Exco kerajaan negeri bagi tujuan kelulusan.

“Semua nama-nama jalan, taman, lokasi atau stadium yang nak dinamakan sempena apa-apa kena bincang di peringkat majlis kerajaan tempatan dahulu kemudian dibawa ke dalam Mesyuarat Exco untuk kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini.

Beliau diminta mengulas isu nama Stadium Mini ‘Ffira Mikah’ di Kuala Nerang yang dikaitkan dengan nama Pegawai Daerah Padang Terap Hakim Ariff Md Noor, yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Kerajaan Negeri Kedah telah mengarahkan supaya nama stadium itu ditukar bagi meleraikan kontroversi berkaitan perkara itu.

Menyentuh tindakan yang bakal diambil terhadap pegawai daerah itu, Muhammad Sanusi berkata perkara tersebut akan diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menentukannya, bersesuaian dengan urusan pentadbiran.

“Nama baharu akan diangkat dalam Mesyuarat Exco untuk kelulusan tapi saya tak fikir dia akan angkat nama tu semula sebab kalau tanya saya pun, saya tak setuju dengan nama tu,” katanya. Bernama

Akhirnya papan tanda Mini Stadium Ffira Mikah diturunkan

Leave a Reply