Tempoh kuarantin pengembara, kontak rapat dipendekkan 10 hari

Tempoh kuarantin wajib kepada pengembara yang baru pulang dari luar negara dan pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada tempoh 14 hari kepada 10 hari.

Peraturan baharu ini dikuatkuasakan mulai hari ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan yang diambil itu selaras dengan situasi semasa Covid-19 di Malaysia dan laporan klinikal terkini dari seluruh dunia.

”Sehingga kini, beberapa buah negara telah menyemak semula tempoh masa kuarantin wajib di negara masing-masing.

“Negara-negara United Kingdom, Jerman dan Belgium telah menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari. Manakala bagi negara Perancis pula telah mengambil tempoh masa kuarantin wajib selama tujuh hari.

“Semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati bahawa risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin. Kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Pada 4 Disember lalu, KKM telah mengumumkan untuk mengkaji pemendekan
tempoh kuarantin di Malaysia ke atas prosedur pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif Covid-19.

Jelasnya, peraturan itu terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian yang dilaksanakan di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman.

Dalam pada itu, katanya, KKM hari ini mengesan enam lagi kluster baharu.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan penemuan baharu itu menjadikan jumlah kluster sebanyak 416.

Jumlah kluster yang telah tamat pula sebanyak 225 termasuk Kluster Wisma Saberkas di Sarawak, Kluster Sauh dan Basung di Sabah serta Kluster Auto di Selangor.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 191 kluster dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 52 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tembok (103 kes), Kluster Seruling (93 kes) dan Kluster Rumah Merah (78 kes),” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terbaharu Covid-19 hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, enam kluster baharu ialah Kluster Hujung Pasir di Wilayah Persekutuan Labuan; Kluster Lestari di daerah Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang serta daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kluster-kluster lain iaitu Kluster Desa Idaman di daerah Kulai, Johor; Kluster Tapak Bina Rimbun di Seremban; Kluster Tanjung Suria di Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor serta Kluster Kuala di Kuantan, Pahang. MG

Tempoh kuarantin kendiri dipendekkan kepada 10 hari di UK

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker